Kerajaan patut tanya kami sebelum naikkan gaji minimum, kata peniaga Sarawak


Desmond Davidson

Pemilik perniagaan di kawasan perniagaan terkemuka India Street, Kuching berkata kerajaan langsung tidak bertanya pendapat mereka sebelum menaikkan gaji minimum di negeri itu daripada RM920 kepada RM1,050. – Gambar Facebook, 9 September, 2018.

KETIKA masyarakat perniagaan di Sarawak kian sibuk mengira berapa banyak keuntungan mereka akan mengecil dan adakah perlu mengambil lebih banyak pekerja dengan pengenalan gaji minimum baharu, ramai juga bengang mengapa pendapat mereka tidak diambil kira tentang kadar baharu itu.

Wee Hong Seng, pemilik perniagaan di India Street, Kuching berkata tidak ada makluman antara kerajaan kepada majikan berkenaan kenaikan gaji minimum di negeri itu daripada RM920 kepada RM1,050.

“Kerajaan tidak ada hak untuk tentukan cara kami berniaga. Mereka hanya tolak saja pada kami. Saya percaya ia untuk memenuhi janji manifesto mereka, tetapi pada saya ini tidak betul,” kata Wee.

Sebagai presiden Persatuan Peniaga India Street, Wee juga mewakili suara perniagaan kecil seperti peniaga tekstil, pemilik kedai kopi dan kedai buku, kedai herba Cina dan pembekal perkakasan – di mana kebanyakannya daripada mereka meneruskan perniagaan keluarga dari zaman penjajahan.

Ada perniagaan di situ diuruskan oleh empat generasi daripada keluarga yang sama.

“Bila mereka naikkan gaji minimum kepada to RM1,050, ada atau tidak mereka buat kajian tentang apa kesannya terhadap gaji minimum sebelum ini,” kata Wee.

“Mampukah kami menampungnya?”

Wee berkata kerajaan sepatutnya membiarkan peniaga menentukan kadar gaji minimum itu.

Beliau berkata gaji minimum baharu akan memberi kesan negatif terhadap moral pekerja, terutama dalam kalangan perniagaan kecil, kedai kopi dan makanan di mana mereka perlu mengambil pekerja yang ramai.

Wee mempunyai 10 pekerja di kedai tekstilnya.

“Memandangkan sekarang saya dipaksa menaikkan gaji dua kakitangan saya sebanyak RM130 daripada kadar RM920, saya juga terpaksa menaikkan gaji lapan lagi kakitangan saya yang setia dan sudah lama berkhidmat.

“Kalau tidak, mereka akan merungut tidak dapat kenaikan ketika berita tentang kakitangan baharu dan kurang pengalaman tiba-tiba dapat naik gaji.

“Gaji minimum baharu bukan saja menjejaskan pekerja, ia terkena semua orang, daripada pemilik perniagaan hingga ke bawah. Ia akan menjejaskan perniagaan syarikat,” kata Wee kepada The Malaysian Insight. – 9 September, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen