Bersama kleptokrat, PAS tersasar dari ajaran Islam sebenar, kata Mukhriz


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir ketika berucap di hadapan lebih 50,000 penyokong dan ahli Bersatu yang hadir pada sambutan ulang tahun kedua parti itu di Stadium Melawati, Shah Alam malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 September, 2018

BERSAMA dengan Umno, PAS kini bersetuju dengan kleptokrasi dan menyimpang jauh dari ajaran agama Islam yang sebenar, kata Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, kedua-dua parti itu juga memburuk-burukkan Bersatu ketika bergandingan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia dan Balakong sebelum ini.

“Merekalah pengkhianat bangsa yang sebenar, dan PAS pula kini bersekongkol dengan mereka, mengiyakan kleptokrasi dan kecurian wang Rakyat, jelas sekali PAS juga telah jauh menyimpang dari ajaran Islam,” katanya ketika berucap  di hadapan lebih 5,000 ahli Bersatu sempena sambutan ulangtahun kedua Bersatudi Stadium Melawati, Shah Alam malam tadi.

Kedua-dua parti itu katanya menyebarkan propaganda bahawa kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mengabaikan kepentingan orang Melayu.

“Mereka cuba bangkit kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap PH, terhadap Dr Mahathir.

“Mereka lempar tuduhan kononnya di bawah PH yang juga dianggotai oleh Bersatu, hak orang Melayu semakin terhakis, kononnya MARA (Majlis Amanah Rakyat) akan dipecahkan dan dikeluarkan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Kononnya kerajaan PH ini pendokong komunisme, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk menggugurkan agama Islam sebagai agama persekutuan. Semua fitnah ini nyata meleset sama sekali,” katanya.

Sebaliknya menteri besar Kedah itu berkata, bukti demi bukti terbongkar mengenai penyelewengan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib Razak.

“Siasatan ke atas 1MDB sudah berjalan rancak, skandal Felda juga mulai terdedah, hutang negara yang mencecah RM1 trilion juga menjadi pengetahuan umum. 

“Semuanya ini angkara kepimpinan Umno yang dikatakan pembela Melayu itu, sudah terang lagi bersuluh, laungan ‘Hidup Melayu dalam Umno itu hanya digunakan untuk memperkayakan Najib, Rosmah (Mansor) dan kroni-kroni, suku-sakat mereka,” kata Mukhriz lagi.

Mukhriz berkata, Bersatu juga tidak perlu bimbang akan penghijrahan ahli Umno yang ingin menyertai mereka kerana ia akan memberikan kekuatan kepada parti.

Namun begitu, saringan perlu dilakukan untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar yang ingin berjuang demi parti diterima.

“Dengan perancangan yang rapi, kehadiran mereka itu akan memberi kekuatan yang kita perlukan untuk meningkatkan lagi keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap kita.

“Namun, walaupun kita menerima penghijrahan beramai-ramai Umno kepada Bersatu itu, kita masih perlu menapis dulu supaya hanya yang baik-baik, yang benar-benar pejuang ‘Alif Ba Ta’ sahaja yang ke mari.

“Yang kaki bodek, yang kepala masam, yang mata duitan, yang sakan menghentam kita dulu tapi memuji kita kini — sorry, sila kekal dalam Umno…jangan bawa ‘mai penyakit hangpa tu’,” katanya lagi.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata kerjasama parti itu dengan PAS bukan retorik sebaliknya membayangkan dua parti terbesar orang Melayu itu akan bersama dalam pilihan raya umum ke-15 nanti.

Kerjasama PAS dan Umno jadi perhatian selepas dua parti itu dilihat semakin akrab terutama dalam dua pilihan raya kecil di Selangor yang berlangsung dalam tempoh 100 hari selepas selepas pilihan raya umum ke-14.

Dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis, PAS berkempen untuk calon Umno manakala pemimpin kanan kedua-dua parti muncul di pentas sama berceramah dalam kempen di DUN Seri Setia. – 8 September, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen