Melayu malu bogel tapi tak malu gagal buat kerja, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri yang juga pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada sambutan ulang tahun kedua Bersatu di Shah Alam, malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 September, 2018

ORANG Melayu mesti ada rasa malu pada diri sendiri dan orang lain sekiranya gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan pada mereka, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menjelaskan, hanya dengan sikap malu, bangsa Melayu mampu maju ke hadapan dan menjadi bangsa berjaya.

“Bahawa bangsa kita Melayu dianggap tidak beramanah tidak memalukan kita, kita tidak peduli dengan penghinaan ini, tidak tahu malu juga menyumbang kepada prestasi kita… ya, kita malu kalau dilihat bogel.

“Kita tidak berasa malu kerana gagal menjayakan tugas, oleh itu hasil kerja kita tidak seperti yang diharapkan, kualiti barangan kita tidak baik pun tidak apa, dengan sikap ini kita tidak akan berjaya,” katanya berucap pada sambutan ulang tahun kedua Bersatu di Shah Alam, malam tadi.

Sikap malu itu adalah antara tiga nilai yang disebut oleh Dr Mahathir harus ada pada orang Melayu sekiranya mereka mahu berjaya, selain rajin dan beramanah.

“Dengan tiga ini (rajin, beramanah dan ada rasa malu) sahaja pun kita boleh berjaya, kita boleh bersaing dengan orang lain dan menang dalam persaingan kita. Cubalah,” kata Pengerusi Bersatu itu.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan turut meminta orang Melayu supaya jangan mudah puas hati atas hasil kerja yang tidak berkualiti.

Penyokong dan ahli Bersatu membanjiri Stadium Melawati Shah Alam pada sambutan ulang tahun kedua parti itu malam tadi. – 8 September, 2018

“Apabila ditunjuk hasil kerja kita tidak sebaik hasil kerja orang lain, tanpa segan silu kita hanya berkata itu bangsa lain. Kita sudah akui kita memang begitu. Maka merosotlah kita. Gagallah kita.

“Budaya, nilai hidup, sifat yang baik dikatakan baik kerana ia baik bagi kita. Kita akan berjaya jika kita miliki dan amal nilai-nilai yang baik, terdapat banyak nilai hidup yang baik,” katanya.

Sebahagian tema ucapan Dr Mahathir malam tadi mengulangi apa yang diucapkannya pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Kuala Lumpur pada 1 September lepas.

Dalam ucapannya malam tadi Dr Mahathir sekali lagi mengingatkan Dasar Ekonomi Baru gagal antaranya kerana orang Melayu mudah menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka dan sentiasa merasakan diri mereka sentiasa betul.

“Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh kerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah.

“Saya berpendapat jika kita soal diri kita dan jika kita dapati ada kesalahan yang dilakukan oleh kita, maka adalah lebih mudah kita betulkan diri kita, daripada meminta orang lain betulkan diri mereka supaya kita dapat nikmat,” katanya.

Orang Melayu juga kata Dr Mahathir perlu mengakui kesilapan dan memperbaiki kesilapan yang mereka lakukan.

“Jika kita dapat mengaku kita yang bersalah, maka perlu kita betulkan kesalahan kita. Apakah kesalahan kita? Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan yang kita lakukan.

“Yang pertama kita tidak bekerja sekuat orang lain, bukan sahaja kita tidak kerja keras tetapi kerapkali kita tidak ambil berat tanggungjawab kita, kita sering kurang meneliti sebelum kita membuat keputusan dan bertindak. Kita kurang kuasai ilmu dan maklumat yang diperlukan untuk kita membuat keputusan yang baik.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan penyokong dan ahli Bersatu di Shah Alam malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 September, 2018

“Tanpa izin saya berani mendakwa kita malas, kita lebih suka serah kerja kepada orang lain,” katanya.

Keadaan itu katanya mengakibatkan negara dibanjiri pendatang asing yang sanggup bekerja dalam sektor yang dianggap kotor oleh orang Melayu.

Kebanjiran warga asing itu kemudiannya menyebabkan negara terlalu bergantung kepada mereka sehingga mengakibatkan kesan sosial.

“Kerana kita tidak sanggup bekerja maka pekerja asing membanjiri negara kita tanpa mereka negara kita tidak dapat dibangun, jika banjir ini membesar dan mereka tinggal lama di negara kita, secara tidak langsung atau secara langsung mereka akan memiliki negara kita.

“Anak dara kita akan berkahwin dengan mereka, negara kita ini akan jadi lebih berbilang kaum dan kita pun akan undur ke pinggir hutan setelah menjual hartanah kita kepada orang lain.

“Itu kesan dari keengganan bekerja. Tetapi juga kita kurang beramanah, iaitu tidak berasa bertanggungjawab apabila sesuatu diletak di bawah jagaan kita,” katanya.– 8 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen