Dr Mahathir ikrar pertahan Melayu tapi bukan macam cara Umno


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hadir pada sambutan ulang tahun kedua Bersatu di Stadium Melawati Shah Alam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 September, 2018

DR Mahathir Mohamad memberi jaminan beliau akan mempertahankan nasib orang Melayu tetapi kaedah membela nasib bangsa itu tidak akan mengulangi apa yang dilakukan oleh Umno dahulu.

“Saya tidak akan lepas perjuangan bangsa kepada kaum lain, saya telah sebut bahawa kita telah tubuh parti Melayu (Bersatu) untuk mengganti Umno yang sudah diselewengkan,” katanya dalam ucapan pada sambutan ulang tahun kedua Bersatu di Shah Alam, malam tadi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan Pakatan Harapan yang disertai Bersatu akan melakukan sesuatu untuk menjayakan orang Melayu, terutamanya memperbaiki keadaan ekonomi mereka setanding dengan kaum-kaum lain.

Bagaimanapun tegas beliau, orang Melayu di bawah Bersatu dalam Pakatan Harapan tidak akan sama seperti orang Melayu di bawah Umno dalam Barisan Nasional.

“Kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada orang Melayu tidak akan disalahgunakan oleh mereka. Jualan pemberian tidak akan dibenar. Kita akan tentukan mereka dilatih dengan cara-cara mengurus, terutama pengurusan wang.

“Kita akan semai ke dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia. Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap penyelewengan,” katanya.

Majlis sambutan ulang tahun kedua Bersatu itu turut dihadiri pemimpin kanan Pakatan Harapan termasuk Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari.

Sebahagian daripada ahli dan penyokong Bersatu yang jadi pada sambutan ulang tahun kedua Bersatu yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 September, 2018

Sebahagian tema ucapan Dr Mahathir malam tadi mengulangi apa yang diucapkannya pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Kuala Lumpur pada 1 September lepas.

Dalam ucapannya malam tadi, Dr Mahathir sekali lagi membayangkan Melayu yang akan dibantu oleh kerajaan Pakatan Harapan hanyalah Melayu yang memiliki nilai-nilai yang baik, antaranya berdisiplin, memiliki daya saing dan rajin.

Melayu yang akan dibantu juga bukanlah Melayu yang bergantung pada “sokongan dari menteri atau pembesar”, termasuk daripada Perdana Menteri.

“Penilaian akan diasaskan kepada kewangan, kecekapan dan pengalaman. Bagi yang belum ada pengalaman, bekerjalah dalam jurusan pilihan dahulu,” katanya.

Dr Mahathir juga mahu orang Melayu mempunyai nilai hidup yang baik dan betul, seperti amanah pada hutang dengan membayarnya semula dan berasa malu pada diri sendiri dan orang lain sekiranya gagal melakukan sesuatu dengan baik.

Menurut Dr Mahathir, hanya dengan berpegang pada nilai yang mulia saja, orang Melayu boleh berjaya untuk agama, bangsa dan negara.

“Jangan lupa slogan kita, bercerai roboh, bersatu teguh. Ini adalah kali terakhir bagi kita orang Melayu dan Bumiputera lain menebus maruah kita,” katanya lagi. – 8 September, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen