Taliban Pakistan lancar majalah wanita pertama


Edisi sulung "Sunnat E Khaula" terbitan Tehreek-e-Taliban Pakistan menampilkan wanita menutup tubuhnya sebagai gambar muka depan kulit majalah itu. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2017.

TALIBAN Pakistan melancarkan edisi pertama majalah untuk wanita, dengan matlamat agak jelas meyakinkan kumpulan sasaran pembacanya untuk menyertai kumpulan militan itu dan berjihad.

Edisi sulung “Sunnat E Khaula” atau diterjemahkan sebagai cara hidup Khaula – merujuk kepada pengikut wanita terawal Nabi Muhammad, diterbitkan oleh Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) menampilkan seorang wanita menutup tubuhnya dari atas kepala hingga kaki, sebagai gambar muka depan kulit majalah itu.

Di dalamnya terdapat artikel hasil temu bual dengan isteri pemimpin TTP, yang tidak dinamakan, di mana beliau bercakap mengenai perkahwinannya dengan ketua kumpulan militan itu, Fazlullah Khorasani ketika berusia 14 tahun.

“Kenapa sekarang di mana-mana kecoh tentang kahwin bawah umur. Kita perlu faham lelaki dan wanita matang yang dibiarkan tidak berkahwin akan jadi sumber kemusnahan moral dalam masyarakat.

“Kami mengajak wanita Islam tampil dan sertai mujahidin Islam,” katanya isteri ketua militan itu dalam kolum nasihat untuk pejuang wanita.

“Anjurkan perjumpaan rahsia di rumah dan jemput saudara kita yang berfikiran sama. Edarkan risalah tentang jihad, atur kelas latihan fizikal untuk wanita. Belajar cara kendali senjata dan belajar guna bom,” kata kolum itu.

Majalah berbahasa Inggeris itu turut menyiarkan artikel daripada doktor wanita Pakistan menceritakan keputusannya untuk meninggalkan pendidikan barat dan memeluk Islam, bertajuk “My journey from ignorance to guidance”.

Ketika pengaruh Taliban di Pakistan semakin besar, kumpulan militan itu sering menyiarkan artikel dalam penerbitan berbahasa Urdu atau Inggeris, berharap untuk menarik lebih banyak orang menyertai rekrut mereka.

Kumpulan militan itu turut aktif di Facebook dan Twitter, tetapi kebanyakan laman media sosial mereka sudah ditutup.

Tentera Pakistan melancarkan serangan terhadap kumpulan pemberontak di barat daya negara itu penghujung 2014 selepas Taliban menyerang sekolah dikendalikan tentera, mengorbankan lebih 150 orang kebanyakannya kanak-kanak. – AFP, 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen