KEMENANGAN Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14 yang lalu adalah ujian Tuhan tentang kuasa, amanah dan tanggungjawab, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Beliau mengingatkan pemimpin Bersatu agar tidak hanyut dengan kuasa yang ada, atau mereka akan jadi seperti Barisan Nasional (BN) yang hilang kuasa selepas mentadbir selama enam dekad.
“Tuhan sedang menguji kita dengan kuasa, adakah kita akan menggunakan kuasa untuk melakukan kebaikan atau mendatangkan kerosakan,” katanya dalam ucapan pada sambutan ulang tahun ke-2 Bersatu di Stadium Melawati, Shah Alam malam ini.
Ucapannya disiarkan melalui rakaman video selepas beliau tidak hadir kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Menurut Muhyiddin, kuasa jadi kerajaan adalah amanah yang mesti ditunaikan dengan tanggungjawab untuk membawa kebaikan dan bukan untuk kepentingan peribadi.
“Kita perlu belajar daripada sejarah. Parti lawan kita yang amat berkuasa suatu ketika dahulu telah dicabut kuasa daripadanya lantaran mereka melakukan begitu banyak kerosakan dengan menyalahgunakan kuasa.
“Mereka biarkan nilai dan budaya buruk meresapi parti sehingga mereka ditolak oleh rakyat,” katanya, dalam ucapan yang dipancarkan kepada lebih 5,000 ahli Bersatu yang menghadiri sambutan itu.
Sebagai sebuah parti baru, Muhyiddin berkata Bersatu masih boleh membentuk budaya ‘Bersatu’ untuk memastikan pemimpin menggunakan kuasa dengan cara yang betul dan parti itu sentiasa berada di landasan yang benar.
Budaya Bersatu itu katanya hendaklah berasaskan kepada beberapa nilai utama seperti disiplin, amanah, perpaduan, mengutamakan perjuangan, dan komitmen kepada parti.
“Saya percaya jika kita amalkan semua nilai murni yang telah saya sebutkan, kita akan dapat membentuk satu budaya Bersatu yang akan melahirkan pejuang-pejuang tulen yang sentiasa berjuang untuk memperkukuh dan memperteguhkan parti,” katanya.

Beliau turut menyeru agar Bersatu turut memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) dengan menjalin kerjasama yang lebih erat antara parti-parti anggota PH kerana setiap parti komponen itu ada peranan masing-masing untuk membina keyakinan kepada kerajaan.
“Dengan semangat saling hormat menghormati antara parti-parti PH dan komitmen semua parti untuk mematuhi Perjanjian Pakatan Harapan yang telah kita meterai bersama, PH akan menjadi sebuah gabungan parti politik yang kuat dan dihormati oleh rakyat,” katanya.
Menteri Dalam Negeri itu turut mengingatkan janji PH dalam manifesto PRU14 yang belum tertunai dan perlu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, terutamanya soal beban kos sara hidup rakyat. – 8 September, 2018
Komen