Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas wartawan gambar terkenal Mahmoud Abu Zeid yang lebih dikenali sebagai Shawkan.
Beliau yang pernah menggondol anugerah UNESCO didakwa terlibat dalam pembunuhan dan menjadi ahli organisasi pengganas. Satu dakwaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.
Peguamnya Karim Abdelrady berkata hukuman itu bagaimanapun “tidak adil kerana Shawkan hanya menjalankan tugasnya” melaporkan peristiwa yang berlaku di Mesir lima tahun lepas.
Shawkan sepatutnya boleh dibebaskan selepas “beberapa hari”, kata peguamnya mengalu-alukan keputusan tersebut.
Penahanan Shawkan menyebabkan kemarahan di kalangan kumpulan hak asasi manusia dan NGO yang berkempen untuk pembebasannya.
Shawkan adalah salah seorang daripada 700 defendan yang dibicarakan dalam perbicaraan kes yang sama.
Sebahagian besar daripada mereka menghadapi dakwaan membunuh polis dan merosakkan harta benda awam ketika pertembungan antara pihak berkuasa dan penyokong bekas Presiden Mesir Ahmed Morsi yang berlaku kira-kira lima tahun lepas di Rabi’ah al-Adawiyah, Kaherah.
Pada 14 Ogos 2013, kira-kira 700 orang dilaporkan terkorban dalam pertembungan terdahsyat pernah disaksikan negara itu.– AFP, 8 September, 2018.
Komen