Menipu FBI, bekas pembantu Trump dipenjarakan


Bekas penasihat dasar luar Trump George Papadopoulos dijatuhkan hukuman penjara setelah didapati bersalah menipu ketika disiasat FBI.– Gambar AFP, 8 September, 2018.

BEKAS penasihat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dipenjarakan pada hari ini kerana menipu dalam siasatan Biro Siasatan Pusat (FBI).

George Papadopoulos sebelum ini disiasat mempunyai hubungan dengan Rusia dijatuhkan hukuman penjara dan sabitannya itu menjadi bibit kemungkinan wujudnya pakatan sulit dengan Moscow.

Papadopoulos yang sebelum ini merupakan pembantu dasar luar Trump dijatuhkan hukuman penjara 14 hari berdasarkan pengakuan bersalah di hadapan Hakim Daerah Randolph Moss.

Moss turut mengatakan pembantu Trump itu “menipu dalam siasatan membabitkan perkara penting mengenai keselamatan negara.”

Papadopoulos adalah orang kedua dihukum penjara sepanjang siasatan 16 bulan mengenai hubungan Rusia dalam pilihanraya presiden yang diketuai Penasihat Khas Robert Mueller. Ia terjadi dua minggu selepas dua pembantu tertinggi Trump di dapati bersalah atas tuduhan jenayah feloni dan sejak itu kes berkenaan menjadi semakin besar hasil siasatan yang dijalankan.

Presiden Trump menyifatkan sabitan salah itu sebagai remeh bagi sebuah siasatan yang melibatkan kos jutaan dolar sejak ia dilancarkan pada bulan Mei 2017, tanpa menghiraukan 35 dakwaan, lima pengakuan salah dan satu perbicaraan mahkamah hasil siasatan pasukan Mueller setakat ini.

“14 hari untuk 28juta USD- 2juta satu hari, Tak Ada Pakatan Sulit. Hari yang hebat untuk Amerika!” ciap Trump.

Senator Mark Warner, ahli politik senior Demokrat  yang turut menjalankan siasatan mengenai kes itu memuji hasil siasatan tersebut.

Walaupun serangan terus dilakukan Trump, Mueller dan pasukannya “menjalankan siasatan yang serius dan profesional” mengenai kempen Trump ketika Pilihanraya Presiden 2016 yang didakwa mempunyai pakatan sulit dengan Rusia, kata Warner dalam sebuah kenyataan. – AFP, 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen