Pelajar PhD Kenya pertikai peraturan visa


Christopher Rabin

Status pengajian PhD Judith Wanda kini masih belum diketahui susulan isu pertikaian peraturan visa yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen. – Gambar The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

PERTIKAIAN antara seorang pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD)  dari Kenya dengan sebuah universiti tempatan Malaysia membangkitkan persoalan tentang kriteria visa yang diperlukan oleh pelajar lepasan ijazah untuk belajar sambil bekerja.

Pelajar tersebut, Judiht Wanda membangkitkan isu itu kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) selepas pihak universiti mahu membatalkan pengajiannya yang kini memasuki tahun keempat yang juga tahun terakhir.

Susulan keputusan mengejut oleh UTAR itu, Judith kini menuntut kembali wang untuk tiket penerbangan, kos yang ditanggung di Malaysia, yuran pengajian di universiti baharu mengikut pilihannya dan surat penjelasan yang menyatakan sebab beliau tidak boleh menamatkan pengajian  PhD di Malaysia.

Judith yang mengikuti pengajian PhD sejak beberapa tahun lalu sambil bekerja di Tanzania, memberitahu The Malaysian Insight bahawa permintaan ini ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan yang kini menjadi orang tengah antara beliau dan UTAR.

Pegawai kementerian yang mengendalikan kes Judith bagaimanapun enggan mengulas atau mengesahkan perkara itu, dengan alasan mereka tidak mempunyai kuasa untuk memberi sebarang kenyataan.

Pelajar berusia 31 tahun itu mempertikaikan keputusan UTAR untuk membatalkan pengajiannya sedangkan beliau sudah menghabiskan selama beberapa tahun bagi melengkapkan pengajian PhD dalam Sains Sosial dengan universiti itu.

Pada masa yang sama, Judith turut bekerja secara sambilan dengan menggunakan permit kerja yang sah.

Apabila beliau mahu memperbaharui permit kerja pada 2016, Jabatan Imigresen memberi pilihan kepadanya sama ada memohon untuk bekerja sepenuh masa atau memohon visa pelajar bagi menghabiskan pengajiannya.

Kemudian Judith dan UTAR mencapai perjanjian yang membolehkan beliau belajar separuh masa sambil bekerja dan tinggal di Tanzania, di mana beliau berkhidmat sebagai pembantu pensyarah di sebuah universiti.

Sebagai pelajar separuh masa di UTAR, beliau hanya perlu hadir ke kampus dalam jumlah beberapa hari sahaja setahun dan perkara itu boleh dilakukan menerusi pas lawatan sosial.

Pada 2016, Judith menghantar topik pengajian PhD dan diberi kelulusan untuk memulakan kajian. Beliau kemudiannya tinggal di Tanzania bermula November 2016.

Kajian beliau berjalan lancar dan ketika bersedia menghantar kajian PhD pada Mei lalu, UTAR memaklumkan semua pelajar perlu memiliki visa pelajar walaupun hanya perlu datang ke kampus mengikut waktu tertentu termasuk pelajar separuh masa.

Judith berkata kriteria itu dikuatkuasa susulan perubahan pentadbiran dalam UTAR.

Tiga minggu selepas menerima notis awal, beliau menerima satu lagi surat yang memaklumkan program PhD yang dijalaninya dibatalkan.

“Saya amat hampir menamatkan pengajian PhD. Bagaimana mereka boleh melakukan sebegini? Saya juga membayar yuran, bukannya mendapat biasiswa. Saya hanya mahu menjadi pelajar separuh masa untuk menamatkan pengajian. Itu adalah perjanjian kami.

“Sebagai pelajar separuh masa, saya hanya perlu hadir ke kampus sebanyak 15 kali setahun. Saya tidak memerlukan visa pelajar untuk berbuat demikian,” katanya.

Mengulas dakwaan Judith, UTAR memberitahu The Malaysian Insight bahawa surat tawaran awal yang diterima pelajar itu jelas menyatakan kemasukan beliau ke univertisi berkenaan tertakluk kepada Jabatan Imigresen untuk meluluskan visa pelajar. – 8 September, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen