Kerusi dikosongkan untuk Anwar minggu depan, kata Rafizi


Rafizi Ramli berkata usaha itu sebagai langkah awal peralihan kuasa menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

SATU kerusi parlimen akan dikosongkan minggu depan untuk membuka jalan kepada Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil, kata Rafizi Ramli, sebagai langkah awal peralihan kuasa menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, lapor Sinar Harian.

The Star pula melaporkan dua kerusi parlimen di Pulau Pinang dalam pertimbangan untuk ditandingi oleh Anwar iaitu Permatang Pauh dan Nibong Tebal.

“Langkah pertama untuk menjadikan Anwar sebagai Presiden parti sudah selesai dan langkah kedua pula adalah untuk menjadikan Anwar sebagai ahli Parlimen.

“Saya nak beritahu, minggu depan akan ada satu kerusi parlimen dikosongkan untuk Anwar bertanding.

“Minggu depan insyaAllah, satu kerusi dikosongkan dan insyaAllah Anwar Ibrahim akan kembali ke Parlimen,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Rafizi berkata demikian dalam ceramah kempen pemilihan PKR di Tunjong, Kelantan malam tadi.

Permatang Pauh, kawasan yang jadi tapak karier politik Anwar, kini disandang anak sulungnya Nurul Izzah, manakala Nibong Tebal disandang Dr Mansor Othman.

The Star yang memetik sumber melaporkan sekiranya Nurul Izzah mengosongkan kerusi Permatang Pauh, anak sulung Anwar itu akan bertanding kerusi negeri Pantai Jerejak yang pada masa sama akan dikosongkan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu.

Anwar yang menang tanpa bertanding pemilihan PKR akan disahkan sebagai presiden parti itu yang baru menggantikan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kongres nasional parti pada pertengahan November ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Pakatan Harapan bermuafakat mengangkat Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dengan syarat Anwar dinamakan sebagai pengganti beliau. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen