PM: Bayaran 1MDB-IPIC hanya masalah ‘teknikal’, bukan kita tak mampu


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Najib Razak memberi jaminan pembayaran kepada IPIC tidak akan menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Ogos, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini menafikan tidak mampu membayar hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MBD) kepada syarikat Abu Dhabi, dan berkata ia hanya kerana masalah teknikal.

“Soal IMDB kita sudah keluarkan kenyataan, maka itu soal teknikal saja bukan sebab tak mampu bayar balik. Kita jangka ia tidak akan jejaskan soal keyakinan kepada ekonomi negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr Wan Azizah sebelum itu bertanya kepada perdana menteri adakah kegagalan 1MDB membayar hutang IPIC bakal menggugat sentimen pelabur luar kepada Malaysia.

Sebelum ini, laporan menyatakan pembayaran sebanyak AS$602.7 juta (RM2.6 bilion) daripada 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) adalah sebahagian daripada penyelesaian hutang.

Pelabur Abu Dhabi, Mubadala berkata pihaknya belum menerima maklumat daripada bank berhubung kelewatan bayaran daripada 1MDB itu selepas tarikh ditetapkan tamat.

Bagaimanapun, 1MDB dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kepada syarikat Abu Dhabi, pembayaran yang sepatutnya dibuat pada 31 Julai akan dibuat pada bulan ini kerana menunggu dana sewajarnya.

Pada masa sama, Najib dilihat turut menyindir Wan Azizah yang bertanyakan soalan seperti menyampaikan syarahan mini.

Selain soalan 1MBD, ketua pembangkang itu mendakwa hutang negara berada pada kadar tinggi yang menggugat ekonomi negara dan rakyat terbeban dengan keadaan itu.

Menafikan perkara itu, Najib berkata hutang negara dalam keadaan terkawal di mana peratusan fiskal defisit negara dijangka menurun kepada 3% daripada 6.7% pada akhir tahun ini.

“Itu bukan soalan tambahan, itu syarahan mini. Tapi saya terima itu memang kerja pembangkang, kalau tak buat macam itu payahlah dari segi politik.

“Namun, hutang negara dalam lingkungan terkawal malah dapat dikurangkan 54% KDNK pada 52.5%.

“Defisit fiskal kerajaan kita dapat kurang daripada 6.7% kepada 3% pada akhir tahun ini dan kita menjurus kepada belanjawan berimbang,” katanya. – 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen