Malaysia perlu 3 tahun untuk pulih, kata menteri kewangan


Gan Pei Ling

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata PH tidak akan beri gula-gula atau umum pembangunan kepada pengundi Balakong kerana mengamalkan politik bersih dan sihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

PUTRAJAYA memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memulihkan negara yang pada masa ini berdepan hutang RM1 trilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Dalam tempoh dua bulan, saya akan umumkan bajet pertama saya. Ia bukan untuk tahun depan saja, ia akan menetapkan hala tuju ekonomi untuk tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami harap akan dapat hala tuju yang jelas. Kami perlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk pulih, katanya yang juga setiausaha agung DAP di hadapan kira-kira 800 orang di ceramah akhir Pakatan Harapan untuk PRK DUN Balakong di Cheras, malam tadi.

Putrajaya dijangka membentangkan Bajet 2019 di Parlimen pada 2 November.

Lim merayu pengundi Balakong menunjukkan sokongan berterusan kepada PH dan kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan keluar mengundi untuk PH, hari ini.

Beliau berkata PH tidak akan memberikan sebarang “gula-gula” atau mengumumkan pembangunan untuk Balakong ketika tempoh kempen kerana ia mahu mengamalkan politik bersih dan sihat.

“Sebab itu kami tunggu hingga selepas PRK untuk buat sebarang pengumuman. Kami harap anda akan faham,” katanya. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen