Skim Peduli Sihat untuk B40 dilancar Januari depan


Gan Pei Ling

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan untuk pelaksanaan skim itu akan dimasukkan ke dalam Bajet 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

SKIM Peduli Sihat akan dilancarkan di seluruh negara pada Januari selpas penangguhan pelaksanaannya dalam tempoh 100 pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian akan memasukkan peruntukan dalam skim itu pada Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen pada November ini sebelum pelaksanaannya tahun depan.

Skim itu merupakan skim kesihatan untuk golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita telah bekerja keras dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara untuk memastikan skim ini dapat dilaksanakan.

“Insya-Allah, kita akan mengumumkan perkara ini pada Bajet 2010 November ini iaitu Skim Peduli Sihat akan dilancarkan pada Januari 2019.

“Skim ini lebih baik berbanding yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan ini menunjukkan kita berusaha menunaikan janji pilihan raya,” katanya.

Skim Peduli Sihat mula dilaksanakan di Selangor yang merupakan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan. – Gambar Selangorkini, 8 September, 2018.

Beliau berkata demikian pada ceramah PH menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Batu 11 Cheras malam tadi.

Julai lalu, Kementerian Kesihatan menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji pelaksanaan skim itu.

Skim tersebut yang mula dilaksanakan di Selangor di bawah kerajaan PH, membolehkan isi rumah berpendapatan rendah memperoleh rawatan perubatan di klinik swasta yang terpilih.

Ia merupakan satu daripada 10 janji PH yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas menawan Putrajaya.

Dr Dzulkefly sebelum ini berkata skim itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 2.6 juta keluarga berpendapatan rendah atau 10.4 juta rakyat.

Putrajaya turut merancang memperkenalkan skim insurans sosial bagi golongan pertengahan (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20) pada fasa berikutnya. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen