Bekas penasihat Trump dihukum penjara 14 hari


George Papadopoulos, bekas penasihat Presiden Donald Trump dijatuhi hukuman penjara 14 hari selepas didapati bersalah menipu dalam siasatan keselamatan negara. – Gambar AFP, 8 September, 2018.

BEKAS penasihat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, George Papadopoulos dijatuhi hukuman penjara 14 hari semalam, selepas didapati menipu dalam siasatan penting membabitkan keselamatan negara.

Hakim mahkamah daerah, Randolph Moss menjatuhkan hukuman terhadap Papadopoulos yang bertanggungjawab dalam polisi luar negara, kerana didapati berbohong kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam siasatan mengenai pakatan sulit dengan Moscow.

“Saya melakukan kesilapan besar pada Januari 2017, dan saya terpaksa membayar pada harga yang tinggi atas tindakan itu.

“Saya sangat malu. Saya masih muda dan bercita-cita besar,” kata Papadopoulos ketika memberi keterangan di mahkamah.

Sementara itu, Moss berkata hukuman ringan itu diputuskan selepas mengambil kira Papadopoulos benar-benar kesal dengan perbuatannya.

Selain penjara, Papadopoulos turut diperintah membayar denda AS$9,500 (RM39,330), hukuman parol selama setahun dan diarahkan menjalani khidmat masyarakat. – AFP, 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen