MCA mahu 'cuci tangan' atas kesilapan BN, kata pemimpin Pakatan


Gan Pei Ling

Calon PH Wong Siew Ki (tengah) ditemani Lim Guan Eng (kiri) ketika sidang media di ibu pejabat DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) menyifatkan MCA sebagai tidak malu apabila cuba ‘mencuci tangan’ dan mengelak daripada bertanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, berkata MCA tidak bertanggungjawab atas kesilapan mereka memandangkan menteri PH seperti beliau perlu memerah keringat untuk mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion dan memulihkan kewangan negara.

“Sebab itu anda tidak boleh maafkan MCA,” katanya kepada kira-kira 800 orang yang berkumpul di ceramah di Batu 11 Cheras malam tadi.

Mesej yang sama turut disampaikan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Tan Kok Wai dan Tony Pua dari DAP, Dr Dzulkefly Ahmad dan Hanipa Maidin dari Amanah, dan calon PH untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki.

“Saya mahu ingatkan MCA pada malam ini bahawa anda bertanggungjawab kerana negara hampir bankrap disebabkan anda membantu Umno dan BN. Rakyat perlu bangkit dan menolak MCA.

“Kini rakyat menderita akibat hutang besar yang ditanggung oleh negara. Bukan sahaja orang Melayu, tetapi Cina dan India juga menderita,” kata Azmin.

Wong calon dari DAP, turut menggelar MCA sebagai ‘pemalas dan tidak malu’ kerana mempromosikan parti itu sebagai imbak dan imbang kepada kerajaan sedangkan sebelum ini membiarkan masalah dicipta oleh kerajaan terdahulu.

“Kami sebenarnya menghukum anda. Anda masih mahu menjadi parti semak dan imbang sedangkan kami sedang menghukum anda? Apa masalah anda sebenarnya? Ini amat memalukan,” katanya.

Lim berkata MCA menyerang beliau kerana mereka tidak mempunyai isu untuk dibangkitkan semasa berkempen.

“Mereka hanya merungut bahawa saya mendahulukan semangat Malaysia (Malaysian first). Apa masalah dengan perkata itu? Politik mereka sama seperti Umno - mendahulukan Melayu. Tapi Pakatan adalah berbeza.

“Mereka berkata saya mengkhianati kaum Cina apabila mendahulukan Malaysia, sedangkan ada pihak yang menjual negara dan mencuri wang rakyat,” katanya.

Pemimpin PH turut menyalahkan MCA kerana menyokong Umno dan PAS yang dilihat menggugat keharmonian agama dan kaum di negara ini.

Lim, Azmin dan ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang disambut bagaikan selebriti apabila diserbu oleh orang ramai yang mahu bersalam dan bergambar bersama mereka.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen