Kos HSR terlalu tinggi kerana elemen rasuah, kata Azmin


Gan Pei Ling

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali pada ceramah akhir PH di Cheras, Balakong semalam berkata projek HSR terlalu mahal kerana adanya elemen rasuah. – Gambar Facebook, 8 September, 2018.

KEWUJUDAN elemen rasuah menyebabkan kos terlalu mahal bagi projek pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Menjelaskan kenapa projek itu ditangguhkan, Azmin ketika bercakap di hadapan kira-kira 800 orang di program akhir ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena PRK DUN Balakong di Cheras malam tadi mengakui HSR projek yang bagus dan dapat menghubungkan dua negara, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Tetapi masalahnya ialah kosnya terlalu tinggi kerana ada elemen rasuah.

“Jadi saya bincang perkara ini dengan kerajaan Singapura. Saya gembira mereka nampak bahawa kerajaan PH telus, bertanggungjawab.

“Mereka setuju untuk menangguhkan projek itu hingga 2020 sebaik saja kita selesaikan masalah ekonomi kita,” katanya, menambah projek berkenaan boleh disiapkan dengan kos lebih rendah.

Putrajaya menandatangani persetujuan untuk menangguhkan pembinaan HSR sepanjang 50km dengan Singapura pada Khamis lalu. Kedua-dua negara akan melihat pilihan yang ada untuk mengurangkan kos berkenaan yang dianggarkan Malaysia pada RM110 bilion.

Malaysia bersetuju membayar Singapura RM45 juta pada Januari 2019 sebagai kos.

Singapura membelanjakan lebih RM750 juta bagi projek HSR itu, dan mungkin membelanjakan RM120 juta lagi menjelang akhir tahun ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada awalnya mengumumkan pada Mei bahawa projek itu akan dimansuhkan susulan Putrajaya terpaksa mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion.

HSR dijangka memendekkan waktu perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada 90 minit.

Ia mempunyai lapan stesen; stesen Jurong East di Singapura, dan di Malaysia ialah Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen