Pengundi Balakong perlu tolak MCA kerana sokong ekstremis, kata DAP


Gan Pei Ling

Pemimpin PH pada ceramah akhir di Balakong malam tadi berkata pengundi tidak boleh memilih MCA kerana parti itu menyokong penggunaan sentimen kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

PENGUNDI di Balakong tidak boleh mengundi MCA hari ini kerana parti itu bersekongkol dengan Umno dan PAS, kata pemimpin DAP pada ceramah akhir Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

“MCA, Umno dan PAS membentuk sekutu yang bukan untuk berjuang demi rakyat tetapi kepentingan sendiri saja,” kata veteran DAP Lim Kit Siang kepada kira-kira 800 orang di kampung baharu Cheras Batu 11 malam tadi.

Lim berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong kini berubah menjadi kepentingan peringkat kebangsaan kerana penyatuan tiga parti itu boleh menjejaskan kestabilan kerajaan PH.

“MCA akan meraikan ulang tahunnya ke-70 Februari depan. Bila masa ada pemimpin PAS berkongsi pentas bersama MCA sejak 70 tahun lepas?,” kata Lim.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkempen untuk MCA buat kali pertama pada satu program ceramah Selasa lalu.

MCA selama ini mengkritik keras PAS berhubung hudud dan langkah parti Islam itu hendak menjadikan Malaysia negara teokratik selama berdekad lamanya.

Lim mencabar calon MCA di PRK Balakong, Tan Chee Teong untuk menarik diri daripada bertanding jika beliau orang yang berprinsip.

Calon PRK Balakong, Tan Chee Teong (MCA) dan calon PH Wong Siew Ki bertanding dalam pertandingan satu lawan satu, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2018.

Pengerusi Nasional DAP Tan Kok Wai mengingatkan pengundi bahawa Presiden MCA Liow Tiong Lai pernah berjanji parti itu akan meninggalkan Barisan Nasional jika Umno bekerjasama dengan PAS.

“Untuk menang undi Melayu, MCA mengkhianati prinsip politiknya sendiri,” katanya menggesa pengundi mempertahankan kesederhanaan dan tadbir urus baik dengan menolak MCA.

Hew Kuan Yau, atau popular dengan gelaran Superman Hew, berkata MCA, Umno dan PAS menjadi parti yang bertindak sebagai pengipas sentimen agama dan kaum.

“Ingat lagi Umno menukar isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) menjadi isu perkauman, mengugut orang Melayu.

“Bukannya disuruh Umno diam, (Timbalan Presiden MCA) Wee Ka Siong hanya berani buli (Timbalan Menteri Pendidikan) Teo Nie Cheng,” kata Hew.

“Jika MCA menang di Balakong, PAS dan Umno akan beritahu orang Melayu di luar bandar bahawa Cina menyesal undi PH.

“Jika MCA kalah, mereka akan terpaksa semak semua strategi, jadi pengajaran kepada tiga parti itu untuk menjadi ahli politik yang lebih konstruktif,” katanya.

PRK Balakong diadakan hari ini susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai.

Tan, 40, yang mewakili MCA akan berdepan calon PH Wong Siew Ki, 32.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi. – 8 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen