SERAMAI 14 militan Boko Haram terbunuh dalam satu operasi oleh pasukan keselamatan kerajaan di kawasan kejiranan Gwoza yang terletak di timur laut Nigeria, lapor agensi berita China Xinhua pada Jumaat.
Kira-kira 21 orang yang telah dijadikan tebusan oleh kumpulan pengganas itu turut dibebaskan pada Khamis di Kampung Pulka dalam kawasan kejiranan di negeri Borno, kata jurucakap tentera Texas Chukwu.
Tentera Nigeria bertindak selepas menerima panggilan kecemasan yang menyatakan bahawa pejuang Boko Haram telah melakukan serangan hendap dengan membakar sebuah kenderaan penumpang dan menculik beberapa pengunjung ke kawasan itu pada Selasa.
Chukwu berkata mereka yang diselamatkan termasuk 11 kanak-kanak dan enam wanita.
Empat lelaki, yang berjaya diselamatkan ketika pertempuran antara tentera dan pengganas, mengalami kecederaan dan dirawat di sebuah fasiliti tentera.
Boko Haram telah berusaha sejak 2009 untuk mewujudkan sebuah negara Islam di timur laut Nigeria, dan membunuh kira-kira 20,000 orang serta menyebabkan berjuta-juta lagi tersingkir. – Bernama, 7 September, 2018.
Komen