2 penduduk Palestin cedera akibat serangan peluru berpandu Israel


Gambar fail bertarikh 9 Ogos 2018 menunjukkan serangan udara Israel ke atas wilayah Gaza. – Gambar AFP, 7 September, 2018.

DUA penduduk Palestin cedera dalam satu serangan peluru berpandu tentera Israel pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan media tempatan.

Kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza menyebut kedua-dua lelaki itu cedera selepas terkena serpihan peluru berpandu yang ditembak ke arah pekan Beit Hanoun di Semenanjung Gaza berhampiran sempadan Israel.

Menurut jurucakap tentera Israeli dalam satu kenyataan, pesawat tentera rejim itu menyasarkan sekumpulan pelancar belon berapi di utara Semenanjung Gaza.

Sejak 30 Mac, penduduk Palestin telah melancarkan wau dan belon berapi dari Semenanjung Gaza ke arah selatan Israel, menyebabkan berlaku kerosakan teruk di kawasan pertanian yang besar.

Pada Jumaat, media Israel melaporkan bahawa lebih 20 belon berapi telah dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke Israel dan menyebabkan kebakaran besar di ladang-ladang di selatan negara itu.

Sementara itu, Ashraf al-Qedra, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, berkata Amjad Hamdouna, 19, meninggal dunia akibat kecederaan di Hospital Shifa di sini.

Hamdouna telah ditembak oleh tentera Israel dan cedera parah pada 14 Julai semasa menyertai perhimpunan “Perarakan Pulang Secara Besar-Besaran” di timur Semenanjung Gaza.

Al-Qedra berkata angka kematian sejak acara itu bermula pada 30 Mac telah meningkat kepada 172 orang, dan lebih 18,000 lagi cedera.

Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza telah digesa menyertai perarakan itu bagi membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald terhadap Palestin. – Bernama, 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen