Perancang plot letupkan pesawat di Australia dibebaskan


Polis Australia menyerbu lima rumah pada Sabtu lalu susulan insiden rancangan merampas pesawat diketahui dan menahan empat lelaki. – Gambar AFP, 2 Ogos, 2017.

SEORANG daripada empat lelaki yang ditahan polis Australia berhubung dakwaan rancangan meletupkan pesawat, dibebaskan tanpa pendakwaan.

Adbul Merhi, 50, ditahan selepas polis menyerbu lima rumah pada Sabtu, yang turut menyebabkan kawalan keselamatan di lapangan terbang domestik dan antarabangsa diperketatkan.

Pihak berkuasa berkata sebuah pesawat menjadi sasaran dan ia membabitkan bahan letupan.

Media tempatan mendakwa sekumpulan lelaki terbabit merancang menggunakan gas beracun atau bom mentah yang kelihatan seperti mesin pencencang daging.

“Seorang daripada lelaki terbabit yang berusia 50 tahun dibebaskan daripada tahanan polis semalam tanpa didakwa dengan kesalahan jenayah,” kata polis dalam satu kenyataan.

“Siasatan masih diteruskan dan maklumat lanjut akan diberi pada masa yang bersesuaian.”

Peguam Moustafa Kheir yang mewakili Merhi berkata beliau akan menyemak semula bagaimana cara polis bertindak terhadap anak guamnya.

Tiga lagi lelaki masih dalam tahanan polis dan belum lagi didakwa, selepas majistret pada Ahad lalu memberi polis tambahan tujuh hari lagi untuk menahan mereka.

Etihad Airways berkata ia akan membantu polis Australia dengan siasatan mereka, ketika laporan Daily Telegraph menyatakan salah satu daripada pesawat syarikat itu ke Abu Dhabi adalah sasaran keganasan itu.

Laporan tempatan berkata kumpulan lelaki terbabit mungkin ada kaitan dengan kumpulan Islamic State (IS) di Syria, dengan Menteri Kehakiman Michael Keenan berkata “jelas ia diilhamkan daripada ideologi Islam yang radikal”.

Tahap amaran keganasan di Australia dinaikkan pada September 2014 susulan kebimbangan serangan individu yang terpengaruh dengan organisasi seperti IS.

Sejumlah 12 serangan, sebelum yang terkini, berjaya dipatahkan dalam tempoh beberapa tahun lalu dan 70 individu didakwa di mahkamah.

Beberapa serangan keganasan berlaku di Australia beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk insiden kafe di Sydney yang dikepung pada 2014 menyebabkan dua tebusan terbunuh. – AFP, 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen