Rusia, Britain bertikam lidah mengenai isu racun bekas pengintip


Wakil tetap Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, mendakwa Britain tidak mengemukakan bukti yang meyakinkan berkaitan insiden Salisbury, kecuali penipuan membabitkan ejen talam dua muka, serangan siber dan agen kimia gred tentera. – Gambar EPA, 7 September, 2018.

BRITAIN dan Rusia bertikam lidah di mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis, apabila Britain menuduh dua ejen Rusia bertanggungjawab dalam serangan agen saraf di Salisbury, yang terletak di barat daya London, manakala Rusia ketika menyangkal dakwaan itu menyifatkannya sebagai histeria anti-Rusia, lapor agensi berita China Xinhua.

Mesyuarat itu diadakan susulan bukti yang dikemuka oleh Britain berhubung dapatan siasatannya ke atas insiden yang menyebabkan bekas pegawai perisikan Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, serta seorang anggota polis tempatan, cedera parah.

Pada Julai, dua penduduk Salisbury telah terdedah kepada bahan kimia itu yang menyebabkan seorang daripada mereka maut.

Britain mendakwa bahan kimia berbahaya itu adalah agen saraf dari era Kesatuan Soviet, yang dikenali sebagai Novichok. 

Pada April, Pertubuhan Larangan Senjata Kimia telah menyatakan persetujuannya dengan penilaian itu.

Wakil tetap Britain ke PBB, Karen Pierce, memaklumkan majlis keselamatan bahawa siasatan yang dijalankan telah mengenal pasti kedua-dua ejen itu, yang merupakan anggota perkhidmatan perisikan tentera Rusia dan melakukan perjalanan di bawah nama Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov, adalah dalang di sebalik serangan tersebut, dan Britain telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap mereka.

Wakil tetap Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, bagaimanapun menolak dapatan siasatan itu dan mendakwa Britain tidak mengemukakan bukti yang meyakinkan berkaitan insiden Salisbury, kecuali penipuan membabitkan ejen talam dua muka, serangan siber dan agen kimia gred tentera.

“Saya tidak akan meneliti senarai yang mengandungi fakta tidak berasas serta palsu ini. Rusia telah menawarkan bantuan dalam siasatan itu tetapi London menolak kerjasama ini.

“London memerlukan kisah ini hanya untuk satu tujuan iaitu bagi menyebarkan histeria anti-Rusia yang menjijikkan dan membabitkan negara-negara lain dalam histeria ini,” kata Nebenzia.

Merujuk beberapa fakta yang didakwa tidak konsisten, wakil tetap Rusia itu berkata ia kekal mustahil untuk mengetahui nama sebenar suspek dan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan Perkhidmatan Perisikan Tentera Rusia.

Beliau berkata dakwaan tersebut merupakan sebahagian lagi daripada “dunia pasca kebenaran” yang direka oleh negara-negara Barat, oleh itu Nebenzia menolak pendedahan sensasi Britain dan tuduhan tidak berasas mengenai pembabitan kerajaan Rusia dalam insiden Salisbury.

Beberapa negara anggota lain, termasuk Amerika Syarikat dan Perancis, memanjangkan sokongan mereka kepada siasatan Britain serta dapatannya manakala Bolivia meminta semua pihak bersabar selain memberi amaran berkaitan “tindakan melemparkan dakwaan” dan mencadangkan agar saluran diplomatik digunakan bagi menyelesaikan pertikaian mengenai insiden meracun itu. – Bernama, 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen