Pengundi Balakong sanggup beri masa kepada Pakatan bukti kemampuan


Gan Pei Ling Christopher Rabin

Calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki berucap ketika berkempen di Sungai Chua untuk PRK Balakong pada Sabtu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2018.

AHLI politik Pakatan Harapan menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia pada Sabtu sebagai pungutan suara rakyat terhadap prestasi 100 hari kerajaan baharu di Putrajaya.

Malah kebanyakan pengundi pelbagai kaum, jantina dan usia yang ditemui The Malaysian Insight di Balakong, sanggup memberi lebih masa kepada kerajaan PH untuk membuktikan kemampuan mentadbir negara.

“Kerajaan PH masih baharu. Pemimpin MCA seperti (timbalan presiden) Wee Ka Siong terlalu keras mengkritik mereka,” kata suri rumah Lian Siew Lan dari Batu 9 Cheras ketika ditemui di majlis makan malam festival hantu pada Khamis.

MCA yang cuba ‘kembali’ pada PRK Balakong, menggunakan modal kegagalan PH untuk menunaikan janji 100 hari sepanjang kempen 21 hari di kawasan itu.

Ini juga merupakan kali pertama parti etnik Cina dari Barisan Nasional (BN) itu menggunakan logo sendiri berbanding logo BN. Malah ini juga kali pertama PH bertanding menggunakan logo pakatan.

“Saya sudah melihat kedua-dua calon dari MCA dan PH. Kami mengenali calon MCA Tan Chee Teong sejak dia masih muda. Kami juga mengenali mendiang Ahli DUN DAP Eddie Ng. Kami amat sedih ketika mengetahui beliau meninggal dunia. Kami akan mengundi calon yang boleh berbakti,” kata Lim.

Calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki (kiri) dan calon MCA Tan Chee Teong bersalaman ketika sesi ceramah di Balakong, baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2018.

Walaupun enggan memberitahu calon pilihannya, wanita itu berkata PH perlu diberi masa untuk membuktikan kemampuan memandangkan kerajaan baharu itu baru mengambil-alih Putrajaya pada Mei.

Pengundi Balakong akan mengundi esok susulan kematian Eddie dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

PH memenangi kerusi Balakong dengan majoriti 35,538 undi pada 9 Mei lalu, mengatasi undi PAS (6,230 undi) and MCA (5,874 undi).

Jumlah itu dilihat tidak banyak berubah walaupun pengundi PAS akan beralih kepada MCA.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan rendah jumlah undi yang keluar berbanding PRU14.

“Kami sebagai suri rumah pasti akan keluar mengundi tetapi suami dan anak mungkin tidak menyertai kerana bekerja. Saudara mara kami juga berada di luar kawasan dan tidak dapat pulang esok,” kata Siew Lan.

Tiga saudara kandung Siew Lan dan dua rakannya turut menyuarakan harapan kepada kerajaan PH agar menurunkan kos sara hidup dan menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) jika mampu.

Adik bongsunya, Thiam Siew berkata beliau hanya memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan sebagai tukang jahit dan perlu membesarkan dua anak perempuan bersama suaminya.

“Anak perempuan saya bekerja pada hujung minggu. Kami tidak mampu membiayai kos pengajian mereka di luar negara. Mereka perlu menyambung pengajian di universiti tempatan,” katanya.

Kira-kira 60% daripada 62,219 pengundi berdaftar di Balakong adalah pengundi Cina diikuti pengundi Melayu sebanyak 31% dan India (9%).

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen