Komuniti gay Singapura digesa cabar undang-undang anti-homoseksual


Golongan homoseksual Singapura yang menyertai himpunan Pink Dot bagi memperjuangkan hak mereka. – Gambar AFP, 7 September, 2018.

SEORANG pegawai diplomat Singapura hari ini menggesa komuniti gay di negara ini untuk mencabar undang-undang larangan hubungan sejenis selepas Mahkamah Tinggi India memansuhkan undang-undang yang sama.

Tommy Koh yang merupakan pegawai kanan kementerian luar republik itu, mengeluarkan kenyataan itu menerusi laman Facebook miliknya sebagai memuji langkah yang diambil oleh India semalam.

“Saya mengggalakkan komuniti gay di Singapura untuk mengemukakan cabaran terhadap Seksyen 377A,” kata Koh, merujuk kepada undang-undang yang melarang hubungan sejenis sesama lelaki.

Mengulas komen yang membangkitkan kegagalan petisyen sebelum ini untuk memansuhkan undang-undang itu, bekas duta Singapura dan wakil ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata: “Cuba lagi.”

Walaupun Singapura merupakan negara yang moden dan mempunyai pelbagai budaya namun tanggapan konservatif terhadap golongan homoseksual masih dikekalkan.

Hubungan sejenis sesama lelaki diharamkan sejak pemerintahan penjajah British walaupun peraturan itu jarang dilaksanakan.

Walaupun cuba mencabar undang-undang itu, sokongan terhadap hak golongan gay semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Singapura yang memiliki 5.6 juta penduduk.

Malah pada Julai lalu, ramai golongan gay menyertai ulang tahun ke-10 hari Pink Dot bagi memperjuangkan hak mereka.

Pink Dot yang merupakan kumpulan aktivis gay Singapura berkata keputusan mahkamah India menunjukkan tanggapan terhadap golongan itu semakin positif di Asia dan meminta Parlimen agar memansuhkan larangan hubungan sejenis.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi Singapura mengenepikan cabaran untuk memansuhkan undang-undang itu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Perundangan Singapura K. Shanmugam berkata kerajaan tersepit antara suara majoriti rakyat negara itu yang membantah pemansuhan undang-undang trebabit dan kebangkitan golongan minoriti yang mahu hak mereka dihormati.

“Saya fikir masyarakat perlu memutuskan hala tuju yang mereka kehendaki.

“Undang-undang yang sedia ada perlu disesuaikan mengikut perubahan dalam masyarakat,” katanya. – AFP, 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen