Gagal cari kerja setaraf ijazah, lepasan universiti pilih jadi tukang cuci rumah


Yasmin Ramlan

Masa yang fleksibel dan pendapatan berpatutan menjadi tarikan untuk pelajar dan lepasan universiti untuk menyertai agensi perkhidmatan pembersihan kediaman. – Gambar ihsan Maideasy, 3 Ogos, 2017.

PUTUS ASA selepas beberapa bulan gagal mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusannya, Siti Nursyazalina Zailani nekad memilih menjadi tukang cuci rumah dengan upah yang berbaloi untuk seorang pemegang ijazah yang baru masuk ke pasaran kerja.

Graduan kejuruteraan bahan itu tidak segan menjadi tukang cuci rumah kerana desakan semasa hidup di Kuala Lumpur dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, memadamkan semua perasaan malu itu.

“Saya tertarik dengan kerja ini kerana waktu kerjanya yang fleksibel dan kalau rajin, kita boleh dapat kira-kira dua ribu ringgit (RM2,000) lebih sebulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nursyazalina, 26, bekerja sebagai tukang cuci rumah dengan sebuah agensi perkhidmatan membersih kediaman yang beroperasi menggunakan aplikasi, Maideasy selama hampir setahun.

Niat awalnya mahu bergabung dengan agensi itu secara sambilan, “sementara mendapat kerja tetap.”

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan memohon kerja di sana-sini dan beberapa kali hadir temuduga tetapi tidak juga ditawarkan kerja, dia tidak ada pilihan selain melakukan sesuatu supaya hijrahnya ke Kuala Lumpur tidak sia-sia.

“Saya tak ada masa untuk memilih kerja sebab saya datang dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk cari kerja dan membantu ibu saya yang merupakan seorang ibu tunggal,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

“Kalau bekerja lapan jam sehari, lima hari seminggu… macam kerja pejabat, saya boleh dapat lebih kurang atau lebih daripada lepasan graduan universiti sekarang.”

Tidak malu

Menurut Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh, seramai 54,867 atau 23.9% daripada 228,568 graduan lepasan universiti di seluruh negara pada 2015 tidak memperoleh pekerjaan selepas tiga bulan majlis konvokesyen mereka.

Memandangkan jumlah graduan tidak berkerja yang semakin meningkat, lebih ramai mula beralih kepada pekerjaan yang sebelum ini tidak pernah langsung terlintas di fikiran mereka.

Nursyazalina diperkenalkan kepada agensi itu oleh adiknya, Siti Nurdiyana yang ketika itu sedang mengambil peperiksaan untuk jadi akauntan bertauliah di sebuah kolej di Cheras.

Kalau kakaknya jadi tukang cuci rumah kerana tidak ada kerja, si adik ini pula kerana mahu meringankan beban ibu yang masih terpaksa menanggung seorang lagi adik mereka yang masih bersekolah.

Siti Nurdiyana Zailani tidak malu bekerja sebagai tukang cuci bagi membantu adik dan ibunya di kampung. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2017.

 

Kerja itu malah memberi Nurdiyana kebebasan menguruskan masa yang disesuaikannya dengan waktu belajar, berbanding kerja sambilan di restoran makanan segera atau jurujual di pusat membeli-belah.

“Saya perlukan duit belanja tanpa menyusahkan mak. Tapi saya nak kerja yang saya boleh kawal masa sebab saya kadang-kala sibuk dengan jadual belajar.

“Saya tidak boleh ikut masa bekerja di pusat membeli-belah atau di restoran makanan segera seperti pelajar universiti lain sebagai kerja sambilan,” katanya.

Wang kerja cuci rumah itu bukan saja dia gunakan untuk belanja bulanan malah untuk membayar yuran peperiksaan.

“Kawan-kawan dan keluarga saya tahu saya buat kerja cuci rumah. Saya tak kisah pun apa orang nak kata. Kawan-kawan tak pandang rendah malah saya ajak juga mereka buat sama. Mereka tak nak tapi mereka prihatin dengan keselamatan saya.

“Cuma orang ramai akan selalu tanya: ‘Kau tak geli ke bersihkan rumah orang’?

“Bagi saya kalau nak kerja, tak payah fikir apa orang cakap. Kita tak buat salah pun,” katanya.

Kedua-dua beradik itu mengakui tidak malu dengan kerja yang mereka lakukan sebaliknya sedikit rimas dengan sikap sesetengah orang yang hairan melihat kesanggupan mereka melakukan kerja yang selalu dikaitkan dengan warga asing itu.

“Ada yang terkejut dan selalu tanya macam mana saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan bagus.

“Mereka tak sangka saya lepasan universiti dan tanya bermacam soalan mengenai kenapa saya buat kerja bersih rumah orang,” kata Nursyazalina.

Nursyazalina kini sudah pulang ke Ipoh untuk menjadi tukang masak membantu ibunya yang mengusahakan sebuah kedai makan. Adiknya pula meneruskan cita-cita menjadi akauntan dan masih belajar di Shah Alam.

Warga tempatan tidak mahu kerja

Maideasy menawarkan perkhidmatan cuci rumah dengan bayaran permulaan serendah RM50. Selain cuci rumah secara harian atau mingguan, Maideasy juga menyediakan perkhidmatan pembersihan rumah sebelum atau selepas pindah dengan kadar bayaran mengikut saiz unit kediaman.

Syarikat perusahaan rintisan (startup) ini ditubuhkan pada akhir 2015 dan menyediakan tenaga kerja hanya di kalangan warga tempatan.

Tetapi menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maideasy, Azrul Rahim, bukan mudah meyakinkan warga tempatan melakukan kerja yang ditawarkan syarikatnya.

 “Untuk dapatkan orang Malaysia bekerja dengan kami sebagai pembantu rumah pada mulanya sangat sukar. Saya terpaksa merayu kepada mereka untuk menerima kerja sebegini,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu pertemuan berasingan.

“Mereka sanggup terima apabila mendapati ia mampu menjana pendapatan dua atau tiga kali ganda berbanding jika mereka bekerja lain misalnya di restoran makanan segera.

“Bagaimanapun, masalah utama kami adalah persepsi orang ramai terhadap pekerjaan ini,” katanya.

Ganti pekerja asing

Azrul menjelaskan dia tidak mengambil pekerja warga asing kerana proses pengesahan mereka ke negara ini yang rumit. Selain itu, ia juga tidak mahu mengambil risiko mengupah pekerja asing tanpa izin.

Walaupun pekerjanya terdiri daripada pelbagai latar belakang, Azrul mendedahkan bukan mudah menarik anak muda terutamanya pelajar universiti bergabung dengan syarikatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maideasy, Azrul Rahim berkata syarikatnya hanya menyediakan tenaga kerja daripada kalangan warga tempatan kerana tidak mahu mengambil risiko mengambil pekerja asing tanpa izin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Ogos, 2017.

“Bagi mereka kerja di kedai makanan segera lebih bagus. Tetapi kami ada juga krew yang terdiri daripada pelajar universiti.

“Mereka lakukannya secara sembunyi, tak nak orang tahu. Tapi sejak akhir-akhir ini ramai pelajar yang ceburkan diri dalam bidang ini dan membawa kawan sekali,” katanya.

Semua pekerja yang diambil oleh Maideasy diberikan latihan asas secara intensif bagi menjamin mutu perkhidmatan yang berkualiti termasuk aspek komunikasi dan layanan pelanggan.

 “Kadang-kala mereka berdepan dengan pelanggan yang cerewet dan bercakap kasar. Jadi kita ada latihan untuk mengendalikan situasi sedemikian,” katanya.

Selain membersihkan kediaman, ia turut menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas. – 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen