KEMENTERIAN Pendidikan memperuntukkan sebayak RM2.7 bilion bagi tempoh dua tahun akan datang untuk membaik pulih 1,020 sekolah daif di Sarawak.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mengadakan lawatan selama dua hari ke Sarawak berkata kementeriannya mempunyai RM100 juta untuk digunakan sehingga akhir tahun ini bagi membaik pulih sekolah paling daif.
Maszlee sebelum itu mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg di pejabatnya di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sarawak, negeri terbesar di Malaysia, mempunyai 1,454 buah sekolah dan 70% daripadanya dikategorikan sebagai sekolah daif. 40% daripada 1,020 sekolah dikategorikan sangat daif.
RM100 juta yang diumum Maszlee itu merupakan penambahan daripada RM35.74 juta yang diumumkan menteri itu di Parlimen baru-baru ini sebagai “peruntukan khas” untuk membaik pulih 853 sekolah daif dengan segera.
Tetapi pemimpin negeri berkata peruntukan khas itu hanya sedikit daripada RM4 hingga RM5 bilion yang sepatutnya diperlukan untuk membaik pulih sekolah.
“Bila kami kata sangat daif, maknanya tak boleh dibaiki. Hanya boleh dibina semula,” kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Michael Manyin di sidang DUN pada Julai. – 7 September, 2018.
Komen