Dr Mahathir tak puas hati, mahu Kabinet bekerja lebih cepat 


Saya tidak pernah berpuas hati kerana kalau boleh saya mahu arahan dibuat semalam, bukan hari ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 September, 2018.

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mahu pentadbiran kerajaan bekerja lebih cepat namun mengakui kelewatan berlaku disebabkan masih ada penjawat awam yang masih menyokong kerajaan terdahulu.

“Saya tidak pernah berpuas hati kerana kalau boleh saya mahu arahan dibuat semalam, bukan hari ini,” kata perdana menteri ketika ditanya apakah beliau berpuas hati dengan prestasi menteri Kabinet selepas mengumumkan keputusan kaji selidik mengenai sentimen rakyat Malaysia terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh sebab tertentu kita tidak boleh mencapai semua janji kita kerana masalah dalam pentadbiran lebih teruk daripada apa yang kita sangkakan pada awalnya. Ini kerana ada pegawai yang masih setia dengan kerajaan lama.”

Dr Mahathir sebelum ini pernah menyebut mengenai kesukaran menghadapi penyokong Barisan Nasional dalam kakitangan awam.

Pengerusi PH itu hari ini mengulangi isu pegawai yang baru dilantik tidak menerima gaji sehingga empat bulan kerana gagal melaksanakan arahanyang diberi.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Bersat di Petaling Jaya hari ini, Dr Mahathir berkata mesyuarat tersebut membincangkan peranan yang sepatutnya dimainkan pakatan itu dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 2021.

Bagaimanapun, Majlis Presiden memutuskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang komitmen dengan pilihan raya negeri itu kerana masanya masih panjang, kata Dr Mahathir. – 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen