FILIPINA mempunyai jangkitan baru HIV tertinggi di Asia, kata satu laporan dikeluarkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan negara itu semalam.
Negara itu menyaksikan peningkatan 140% kes baru sejak 2010 sehingga 2016, walaupun jumlah jangkitan baru di rantau Asia Pasifik jatuh sebanyak 13% dalam tempoh yang sama, menurut laporan itu.
“Filipinan mempunyai peluang tipis untuk bertindak sekarang dan menghentikan wabak HIV tercetus di sana,” kata Pengarah Pasukan Sokongan Serantau Unaids Eamonn Murphy.
Dia menggesa kerajaan menumpukan usaha pencegahan HIV kepada kumpulan berisiko tinggi.
Genesis Samonte daripada biro epidemiologi jabatan kesihatan Filipina berkata lapan daripada 10 kes HIV yang dilaporkan berlaku dalam kalangan lelaki yang membuat hubungan seks dengan lelaki (MSM).
“Kelakuan berisiko bermula daripada muda,” katanya dan menambah yang kumpulan MSM secara puratanya mula membuat hubungan seks pada umur 16 tahun sebelum mereka mula mengambil kondom atau melakukan ujian HIV, yang meningkatkan risiko jangkitan.
Laporan itu turut menyebut yang hanya 35 peratus MSM mempunyai pengetahuan mendalam tentang jangkitan dan pencegahan HIV.
Samonte berkata ada bukti menunjukkan penggunaan Internet dan telefon bimbit membenarkan lebih ramai orang muda mengadakan seks rambang seterusnya meningkatkan risiko jangkitan HIV.
Kes akan terus meningkat dan membebankan sistem penjagaan kesihatan awam Filipina sekiranya negara itu tidak melabur dalam usaha pencegahan dan rawatan, menurut Samonte.
Setiausaha Kesihatan Paulyn Ubial berkata “HIV ialah keutamaan penting untuk kerajaan,” dan bajet untuk penyakit kronik itu naik mendadak dan jabatannya menyasarkan mengubah trend itu dalam tempoh lima tahun.
Usaha kerajaan kini tertumpu kepada kumpulan MSM dan wanita transgender, serta membuka klinik di bandar yang mempunyai jumlah jangkitan HIV baru yang banyak, kata Ubial lagi. – AFP, 2 Ogos, 2017.
Komen