AS hantar dua pegawai kanan selesaikan krisis Teluk


Empat negara teluk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Qatar mendakwanya menyokong keganasan. – Gambar EPA, 2 Ogos, 2017.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson meminta dua pegawai kanan, termasuk seorang jeneral bersara dan bekas pegawai di Timur Tengah, Anthony Zinni untuk berusaha menamatkan krisis Teluk.

Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir memutuskan ikatan dengan sekutu utama AS, Qatar menuduh negara itu menyokong keganasan dan menjalinkan hubungan dengan Iran.

AS mempunyai pangkalan tentera udara di Qatar.

Negara kecil kaya minyak itu sudah menafikan dakwaan itu dan sudah bersetuju supaya Kuwait menjadi orang tengah dan menandatangani perjanjian dengan Washington untuk menghentikan pembiayaan keganasan.

Negara yang bertelagah masih belum berunding secara terus dan Washington mahu mengenakan tekanan kepada sekutunya di rantau itu bagi memperbaiki hubungan mereka dan bekerjasama menangani keganasan.

Tillerson memberitahu wartawan yang Qatar setakat ini memenuhi komitmennya kepada AS tetapi dia sudah menghantar diplomat kanan AS Tim Linderking ke rantau itu untuk mempercepatkan perubahan.

“Dan saya juga meminta Jeneral Bersara Anthony Zinni untuk mengikut Tim supaya kita boleh mengekalkan tekanan berterusan kerana saya fikir itu diperlukan,” katanya.

Zinni, 73, ialah jeneral tentera laut yang pernah mengetaui pasukan AS di Timur Tengah. Selepas bersara dia berkhidmat sebagai envoy khas kepada Israel dan Pihak Berkuasa Palestin. – AFP, 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen