BRITISH Airways (BA) berkata maklumat peribadi dan kewangan pelanggan yang membuat tempahan antara 21 Ogos dan 5 September dicuri dalam satu pencerobohan data membabitkan 380,000 kad bank.
Pencerobohan hampir dua minggu itu tidak membabitkan maklumat perjalanan atau pasport, kata syarikat penerbangan itu, menambah ia melancarkan siasatan kecemasan terhadap pencuri data pelanggan itu.
“Maklumat peribadi dan kewangan pelanggan yang membuat tempahan di laman web dan aplikasi kami terjejas,” katanya.
“Pencerobohan itu sudah diselesaikan dan laman web kami kini berfungsi seperti biasa. Kami memaklumkan polis dan pihak berkuasa terbabit.”
BA berkata pencerobohan itu berlaku antara jam 9.58 malam pada 21 Ogos dan 8.45 malam pada 5 September dan kira-kira 380,000 bayaran menggunakan kad terjejas.
BA menasihatkan sesiapa yang percaya mereka mungkin terjejas daripada kejadian itu, diminta menghubungi bank atau penyedia kad kredit mereka.
Daripada segi pampasan, BA berkata mereka akan berhubung dengan pelanggan dan akan mengendalikan sebarang tuntutan berdasarkan kepada individu. – AFP, 7 September, 2018.
Komen