.jpg)
SAYA tengok kebanyakan bantahan terhadap perlantikan Dr. Maszlee Malik sebagai presiden UIAM datangnya daripada orang luar berbanding orang dalam.
Hal ini berlaku kerana kedudukan UIAM sebagai sebuah universiti swasta yang kemudiannya bertukar menjadi Universiti Awam pada 23 Mei 1983 sedikit mengelirukan. Pertukaran ini walau bagaimanapun, tidak mengeluarkan UIAM daripada penglibatan kuasa-kuasa luar, khususnya OIC.
Di sinilah garis pemisah konteks Universiti Awam yang lain dengan UIAM. UIAM mempunyai Board of Governors yang tersendiri, yang terdiri daripada negara-negara luar termasuklah setiausaha agung OIC. Pendek kata, mereka semua ada kuasa ke atas UIAM.
Presiden pula dipilih oleh ketua perlembagaan atas nasihat kerajaan persekutuan. Dalam isu perlantikan Dr. Maszlee Malik ini, perdana menteri sendiri yang menandatangani surat perlantikan. Ketua perlembagaan UIAM ialah Sultan Pahang.
Jawatan presiden merupakan penentu kepada dominasi negara kita terhadap universiti bertaraf antarabangsa ini. Sebab itu secara tradisinya, presiden UIAM terdiri daripada orang-orang politik yang berjawatan menteri seperti Tun Hussein Onn, Anwar Ibrahim, Najib Razak dan Dr Rais Yatim.
Sekiranya jawatan ini tidak dipegang oleh orang politik, kita telahpun mendedahkan institusi penting ini kepada rebutan kuasa luar yang sudah lama ingin mendominasi UIAM dengan alasan kedudukannya sudah ‘insecure’. Hanya kuasa politik sahaja yang boleh menjadi sempadan hubungan diplomatik ini.
Sebab itu jawatan presiden sangat bersifat ceremonial. Tidak lain tidak bukan ialah demi menjaga dominasi UIAM di depan mata Board of Governors. Tiada kerja-kerja teknikal melainkan penentuan hala tuju universiti. Itupun atas usahasama dengan rektor dan timbalan rektor. Di sini sebagai orang akademik, beliau mempunyai kredibiliti yang besar. Secara sejarahnya, presiden UIAM sebelum-sebelum ini langsung tidak mempunyai sumbangan intelektual.
Dr Maszlee telah memberitahu bahawa beliau tidak akan menerima peruntukan RM0.5 Juta yang selalunya diberikan kepada presiden (bermula presiden keenam). Secara mudahnya, sebagai menteri pendidikan, beliau telah menjimatkan RM0.5 Juta.
Ya, hal-hal begini sudah tentu tak boleh keluar dari UIAM dan pihak kementerian secara rasmi. Kita bercakap dalam skala yang lebih besar. Ini politik antarabangsa. Saya pun sebenarnya tak boleh nak beritahu tetapi terpaksalah juga sebab ada pihak yang terlebih emosi sampai nak berdemo segala bagai.
Saya sangat faham prinsip autonomi universiti tetapi saya juga faham betapa besarnya pertimbangan maslahah yang Dr Maszlee kena buat. Sebab itu pertimbangan maslahah UA yang lain dengan UIAM sangat berbeza. – 7 September, 2018
* Hafizul Faiz merupakan bekas pelajar UIAM.
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen