KERAJAAN Amerika Syarikat mengambil langkah untuk mengehadkan sekatan berhubung berapa lama ia boleh menahan pendatang haram kanak-kanak, satu langkah yang menyaksikan ratusan kanak-kanak dipisahkan daripada ibu bapa atau saudara mara mereka.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS memfailkan usul di Pendaftar Persekutuan pada Khamis yang menyebut ia akan menamatkan pematuhannya kepada Penyelesaian Flores, perjanjian 1997 dengan mahkamah persekutuan untuk tidak menahan kanak-kanak dipisahkan dari ibu bapa mereka selama lebih dari 20 hari.
Ia membolehkan kerajaan untuk meneruskan penahanan lebih 400 kanak-kanak yang terpisah dengan ibu bapa mereka selepas menyeberangi sempadan Mexico secara haram.
Di samping itu, ia boleh diteruskan pada masa akan datang untuk memisahkan keluarga yang ditahan selepas memasuki AS tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Penyelesaian Flores dipersetujui untuk menghalang penganiayaan tahanan bawah umur oleh kerajaan di pusat tahanan.
Pentadbiran Trump, yang meningkatkan usaha membanteras pendatang haram berkata, ia perlu memisahkan mereka sementara ibu bapa mereka berdepan dakwaan jenayah kerana memasuki negara itu secara haram.
Beberapa sumber dalam kerajaan berkata, dasar pemisahan itu adalah bagi menyelesaikan masalah ribuan pendatang yang menyeberangi sempadan secara haram setiap bulan.
Namun bagi kebanyakan kanak-kanak yang berada dalam tahanan, ibu bapa mereka sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Kumpulan hak asasi manusia menggesa agar cadangan itu diubah.
“Peraturan yang dicadangkan itu hanya akan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak yang sudahpun berdepan dengan hukuman, trauma, dan kesusahan yang melampau. Perjanjian Flores perlu dibenarkan untuk bertegas dalam melindungi keluarga yang terlibat,” kata Ashley Houghton dari Amnesty International USA. – AFP, 7 September, 2018
Komen