ANGKA kematian dalam insiden dua letupan bom yang melanda sebuah gimnasium sukan di Kabul pada Rabu telah meningkat kepada 25 orang, dengan jumlah mangsa yang cedera 95, lapor agensi berita China Xinhua.
Letupan pertama berlaku pada pukul 5.55 petang waktu tempatan selepas seorang anggota militan, yang mati ditembak oleh seorang pengawal keselamatan, meletupkan tali pinggangnya yang dipasang bahan letupan di dalam Gimnasium Gusti Maywand dalam kejiranan di daerah Dasht-i-Barchi.
Jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai, berkata letupan itu menyebabkan enam atlet terbunuh dan mencederakan 10 yang lain.
Letupan kedua berlaku di luar pekarangan gimnasium itu kira-kira sejam kemudian, selepas sebuah bom kereta diletupkan.
Seorang wartawan dan seorang jurukamera saluran televisyen tempatan, Tolo News TV, terbunuh manakala empat lagi wartawan cedera dalam letupan itu.
Ramai mangsa yang cedera, termasuk beberapa anggota polis, masih dalam keadaan kritikal.
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, Ketua Eksekutif Abdullah Abdullah, misi-misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan dan persatuan-persatuan wartawan telah mengutuk pengeboman itu.
Kumpulan militan Daesh telah mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom itu.
Kejiranan Dasht-i-Barchi telah menyaksikan beberapa siri pengeboman sejak awal tahun ini.
Pada 15 Ogos, Daesh telah menyerang sebuah pusat pendidikan dan membunuh 75 remaja serta mencederakan lebih 70 yang lain. – Bernama, 6 September, 2018.
Komen