Pakatan tidak akan curi duit rakyat, kata Anwar


Gan Pei Ling

Anwar Ibrahim ketika berkempen untuk calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari 6 September, 2018.

PERBEZAAN besar antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional adalah PH tidak akan mencuri duit dan tanah rakyat, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata perjanjian dalam PH itu dicapai untuk kekal berada di landasan yang lurus dan ‘sempit’.

“Kita tidak akan membenarkan sesiapa mencuri duit rakyat,” katanya kepada orang ramai yang hadir ketika berkempen untuk calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong malam ini.

“Ini merupakan perkara penting. Jangan curi tanah, jangan curi duit rakyat. Jika anda mahu membeli beg, kereta, gunakan duit sendiri. Itu paling penting.

Anwar berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hanya mahu memastikan perjanjian itu dipatuhi dan kekal bersih.

“Saya juga mendapati beliau mempunyai pendirian yang tidak akan berunding (berhubung perjanjian itu),” katanya.

Anwar berkata BN meninggalkan keadaan kewangan negara yang teruk dan kerajaan PH memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Calon PH Wong Siew Ki bersama calon MCA Tan Chee Teong Festival Hantu Cina Poh di Cheras malam tadi.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari 6 September, 2018

“Tolong beri kami peluang. Baru empat bulan sahaja, kami perlu menukar (kerajaan) 60 tahun. Ianya bukan tugas mudah, jadi tolong beri sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir untuk membawa perubahan,” katanya.

Beliau berkata setiap kementerian mempunyai masalah tersendiri yang perlu diperbaiki.

“Hari itu Menteri Kewangan datang ke rumah saya untuk menyuarakan masalah ini. Ia lebih teruk daripada yang kita bayangkan dan kita perlu membetulkannya,” kata Anwar.

Anwar kini berkempen untuk calon PH Wong Siew Ki dan meminta pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini.

PRK DUN Balakong diadadakan susulan kematian Ng Tien Chee akibat kemalangan jalan raya. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen