Raja Kemboja lantik penglima angkatan bersenjata diraja baharu


Raja Kemboja, Norodom Sihamoni melantik bekas timbalan komander Polis Tentera Kebangsaan, Jeneral Vong Pisen, sebagai panglima Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF). – Gambar EPA, 6 September, 2018.

RAJA Kemboja, Norodom Sihamoni, pada Khamis melantik bekas timbalan komander Polis Tentera Kebangsaan, Jeneral Vong Pisen, sebagai panglima Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF), lapor agensi berita China Xinhua memetik satu dekri diraja.

Beliau menggantikan Jeneral Pol Saroeun, yang menyandang jawatan baharu sebagai ahli parlimen dan menteri kanan.

Raja itu turut melantik timbalan panglima RCAF, Jeneral Eth Sarath, sebagai ketua turus bersama RCAF, menggantikan Jeneral Kun Kim yang turut menyandang jawatan baharu sebagai ahli parlimen dan menteri kanan.

Selain itu, Raja tersebut telah menamakan anak lelaki sulung Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen, iaitu Leftenan Jeneral Hun Manet sebagai komander Angkatan Tentera Diraja Kemboja, menggantikan Jeneral Meas Sophea, yang dilantik ke jawatan baharu sebagai menteri kanan yang bertanggungjawab terhadap misi-misi khas.

Menurut dekri diraja itu, kesemua pelantikan dibuat atas permintaan perdana menteri.

Mereka adalah anggota utama parti pemerintah yang dipimpim perdana menteri iaitu Parti Rakyat Kemboja. – Bernama, 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen