10 militan Taliban maut dalam serangan udara di selatan Afghanistan


SEKURANG-KURANGNYA 10 anggota militan, termasuk seorang hakim dan seorang doktor kumpulan Taliban, terbunuh dalam satu serangan udara di wilayah Kandahar yang terletak di selatan Afghanistan, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan pada Khamis.

Angkatan Udara Afghanistan telah melancarkan serangan udara di kawasan Band-e-Timur dalam daerah Maywand pada awal pagi Rabu ketika militan Taliban cuba menyerang sebuah pusat pemeriksaan keselamatan yang baharu, kata ketua daerah Haji Lala.

Sebuah kereta perisai tentera yang dirampas dan sebuah depot senjata api turut musnah dalam serangan itu.

Militan Taliban di wilayah Kandahar belum mengulas laporan itu.

Situasi keselamatan di Kandahar, bekas kubu kuat Taliban, bertambah baik sejak beberapa bulan kebelakangan ini, memandangkan pasukan keselamatan menjalankan operasi mencari di seluruh wilayah selatan itu. – Bernama, 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen