Zambia berdepan risiko penularan wabak Ebola


Ini kerana Zambia bersempadan dengan negara-negara seperti Republik Demokratik Congo (DRC) di mana wabak itu merebak baru-baru ini di wilayah timurnya serta meragut lebih 80 nyawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Zambia sebagai antara negara yang berdepan risiko penularan virus demam Ebola berbahaya memandangkan ia bersempadan dengan negara-negara seperti Republik Demokratik Congo (DRC) di mana wabak itu merebak baru-baru ini di wilayah timurnya serta meragut lebih 80 nyawa.

Wakil Negara WHO di Zambia, Dr Nathan Bakyaita, berkata terdapat keperluan untuk negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bahawa WHO menjalin kerjasama dengan Zambia bagi mencegah sebarang kemungkinan.

Wakil WHO berkata demikian pada Rabu ketika Menteri Kesihatan, Dr Chitalu Chilufya, dan Menteri Wilayah Barat Laut, Naheniel Mubukwanu, melawat pusat di mana Pasukan Kesiapsiagaan Respons Pantas Ebola tempatan dilatih cara menangani kes-kes berkaitan Ebola.

Dr Chilufya telah menggesa orang awam dan kakitangan kesihatan di Wilayah Barat Laut untuk terus berjaga-jaga dan melaporkan sebarang aktiviti yang disyaki berkaitan penularan wabak Ebola di kawasan itu. 

Wilayah itu berkongsi sempadan dengan DRC.

Menteri itu juga memberi jaminan kepada orang ramai di kawasan yang bersempadan dengan DRC agar tidak panik dengan penularan wabak Ebola di negara itu kerana Kementerian Kesihatan sudah bersedia untuk menangani penyakit tersebut.

Mubukwanu turut menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kes yang disyaki Ebola di kawasan itu. – Bernama, 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen