MAHKAMAH Agung India pada Khamis menghapuskan undang-undang mengharamkan hubungan homoseksual yang digubal pada zaman penjajah selepas bertahun kemelut perundangan wujud.
“Undang-undang tersebut menjadi senjata untuk menganggu komuniti LGBT,” kata Ketua Hakim Dipak Misra ketika mengumumkan penghakiman unggul itu.
Seksyen 377 Kanun Keseksaan India diasaskan oleh pemerintah British pada 1861 mengharamkan “hubungan seks bertentangan dengan alamiah”.
Aktivis berjuang untuk menghapuskan pengharaman itu sejak 1990, berdepan beberapa penghakiman yang kemudiannya dibatalkan sebelum penghakiman Khamis ini mencetuskan perayaan dalam kalangan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender di seluruh negara Asia Selatan itu.
Hubungan seks gay adalah isu taboo di India yang konservatif, terutama sekali di kawasan pedalaman di mana homofobia berleluasa. Mahkamah Tinggi Delhi menghapuskan larangan itu pada 2009, tetapi Mahkamah Agung menolak penghapusan itu pada 2014 selepas rayuan dibuat kumpulan konservatif agama.
Menurut data rasmi, 2,187 kes didaftarkan di bawah Seksyen 377 pada 2016 di bawah kategori “kesalahan luar tabii”.
Tujuh orang disabitkan bersalah dan 16 lagi dilepaskan. – AFP, 6 September, 2018.
Komen