PARLIMEN Pakistan memilih Shahid Khaqan Abbasi sebagai perdana menteri pada Selasa, sehari selepas Nawaz Sharif digugurkan oleh Mahkamah Agung berikutan siasatan dakwaan rasuah.
Abbasi dilhat sebagai pemegang tempat kepada pengganti Sharif, adiknya Shahbaz yang perlu dipilih 342 ahli Perhimpunan Nasional sebelum memegang jawatan tertinggi itu.
Dicalonkan parti memerintah Liga Muslim Pakistan- Nawaz (PML-N), Abbasi mendapat 221 undi, umum Speaker Sardar Ayaz Sadiq secara langsung di televisyen. Dia akan mengangkat sumpah pada Selasa.
Walaupun pemilihannya beberapa minit sebelum itu, perdana menteri baru menerusi ucapan sulungnya mengisytiharkan Nawaz Sharif sebagai “perdana menteri rakyat Pakistan”.
“InsyaAllah suatu hari nanti perdana menteri sebenar negara ini akan kembali dan duduk di kerusi ini,” katanya.
Penyokong Sharif turut melaungkan slogan dan mengangkat sepanduk yang mempunyai gambar Sharif.
Ketua pembangkang negara itu Imran Khan yang merupakan bekas pemain kriket sebelum memasuki arena politik bagaimanapun tidak hadir.
Abbasi yang merupakan sekutu kuat Sharif memang majoriti mudah yang diperlukan untuk menjadi perdana menteri dalam parlimen yang didominasi PML-N sekaligus menggambarkan Sharif akan kembali menjadi perdana menteri Pakistan. – AFP, 1 Ogos, 2017.
Komen