Polis Brazil kemuka permohonan pendakwaan terhadap Presiden Temer


Polis mendakwa Presiden Michel Temer terlibat dalam jenayah rasuah pasif dan pengubahan wang haram, yang boleh menyebabkannya dipecat. – Gambar EPA, 6 September, 2018.

POLIS Persekutuan Brazil kemukakan permohonan pendakwaan ke atas Presiden Michel Temer kerana terbabit dengan rasuah dan pengubahan wang haram selain partinya, Parti Demokrat dikatakan menerima AS$2.41 juta dari Odebrecht pada 2014.

Syarikat pembinaan Brazil Odebrecht kini dipalit dengan skandal rasuah. Polis mendakwa Temer terlibat dalam jenayah rasuah pasif dan pengubahan wang haram, yang boleh menyebabkannya dipecat. 

Dua percubaan terdahulu untuk menyingkirkannya gagal kerana beliau menerima sokongan di parlimen.

Odebrecht didakwa membuat bayaran pada 2014 ketika Temer menjadi naib presiden.

Sementara itu, kenyataan dikeluarkan Pejabat Presiden mengatakan, Temer tidak melakukan kesalahan dan dana yang diterima dari Odebrecht adalah sumbangan yang sah untuk tujuan kempen. 

Ketua Pendakwa Brazil, Raquel Dodge pada Mac mengemukakan permohonan agar Temer disiasat, walaupun perlembagaan menghalang beliau dibicarakan kerana perbuatan itu dilakukan sebelum memegang jawatan presiden. 

Siasatan polis mendapati Menteri Tenaga dan Perlombongan Wellington Moreira Franco dan Ketua Turus Temer, Eliseu Padilha turut terlibat. 

Di bawah undang-undang Brazil, di akhir siasatan polis perlu mendapatkan kebenaran membolehkan pendakwa membuat pendakwaan secara rasmi, terpulang kepada hakim untuk memutuskan sama ada kes itu boleh dibicarakan atau sebaliknya. 

Tidak dapat dipastikan bila Dodge akan bertindak ke atas permintaan polis.Sebelum ini pada 2017 Temer telah menghadapi tuduhan rasuah, yang mana sokongan Kongres berjaya menghalang siasatan diteruskan. – Bernama, 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen