PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un memperbaharu komitmen menjayakan program denuklearisasi di semenanjung Korea dalam perbincangan bersama rombongan dari Korea Selatan, lapor media rasminya hari ini.
“Korea Utara dan Selatan harus mempergiat usaha bagi merealisasikan semenanjung Korea yang bebas nuklear,” petik agensi berita Korea KCNA.
“Ini adalah pendirian dan keazaman teguh kami untuk mencegah bahaya konflik senjata dan peperangan dahsyat di semenanjung Korea dan mengubahnya kepada satu wilayah tanpa senjata nuklear mahu pun ancamannya,” tambah kenyataan itu.
Kim memberi kenyataan itu ketika menerima delegasi Korea Selatan di Pyongyang semalam bagi perbincangan rasmi merangka sidang kemuncak antara dua wilayah itu, pertemuan itu juga bertujuan menyelesaikan pertikaian antara Korea Utara dan Amerika Syarikat dalam siri perbincangan mengenai program denuklearisasi di wilayah itu sebelum ini.
Pemimpin Korea Utara itu juga dilaporkan “bertukar-tukar pendapat” bersama delegasi tersebut mengenai jadual dan agenda sidang kemuncak Pyongyang yang bakal diadakan pada bulan ini, dan beliau “berpuas hati dengan perjanjian bersama tersebut,” lapor KCNA lagi. – AFP, 6 September, 2018.
Komen