LEBIH 1,500 pelajar dibunuh di Honduras dalam tempoh lapan tahun, menurut statistik dikeluarkan Pemantauan Keganasan Universiti Autonomi Nasional Honduras (UNAH).
Antara 2010 dan 2016, terdapat kira-kira 15,522 pembunuhan membabitkan institusi pendidikan. Daripada jumlah itu 40% mangsa di bawah umur 30 tahun, lebih separuh insiden berlaku di sekolah menengah di seluruh negara.
Sebanyak 10% lagi pembunuhan berlaku di sekolah rendah. Menurut statistik itu lagi senjata yang sering diseludup ke institusi pendidikan ialah pisau dan senjata api. Seramai 14.8% pelajar pula mengatakan mereka menjadi mangsa jenayah.
Anggota Parti Kebebasan dan Pengampunan (Libre) dan UNAH mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi perantara dan mendapatkan keadilan kepada mereka yang menjadi korban.
Menurut seorang aktivis, Nelson Avila, kematian seorang pelajar ekonomi dan ketua Pergerakan Pelajar Universiti (MEU) baru-baru ini, mendorongnya untuk bertindak.
“Selepas 48 jam mangsa dibunuh, tiada seorang pun suspek ditangkap,” katanya.
Migdonia Ayestas, penyelaras UNAH memberitahu El Heraldo,“Sejumlah 96% kematian pelajar dan pelakunya masih bebas. Jika kita mahu mengurangkan keganasan dan meningkatkan keselamatan rakyat, kita perlu menyiasat dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tersebut.”
UNAH menggesa kerajaan membantu dan menghapuskan kekebalan, kerana “kanak-kanak dan belia adalah aset utama kepada masyarakat” dan “di Honduras golongan muda berisiko tinggi menjadi mangsa keganasan.” – Bernama, 6 September, 2018.
Komen