PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata kerajaannya tidak akan menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) yang baharu, kerana ia memberikan kesan buruk kepada negara, lapor media tempatan.
“Kami tidak akan menandatangani perjanjian yang boleh memberikan kesan buruk dan hanya kerana presiden mahukan. Lebih baik tidak mematerainya,” katanya di Edmonton, barat daya Kanada.
Beliau berkata dunia memerlukan mekanisme penyelesaian berhubung pertikaian mengenai Nafta, di mana presiden Amerika Syarikat (AS) “sering tidak mematuhi peraturan.”
“Satu perkara jelas adalah kita mempunyai garis merah yang tidak boleh diterima Kanada. Semua perlu menjaga resolusi pertikaian di bawah Bab 19 kerana ia bagi memastikan peraturan dipatuhi, sedangkan kita tahu kita mempunyai presiden yang seringkali tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Bab itu yang menjadikan Kanada dan AS kekal dalam rundingan semula Nafta. Di bawah bab itu membolehkan syarikat memohon timbang tara apabila yakin produk mereka diperlakukan tidak adil oleh anti-lambakan atau timbal balas.
Tawar-menawar berlaku bagi memuktamadkan teks perjanjian itu dan diserahkan kepada Kongres AS pada akhir bulan. Presiden Donald Trump mengancam meneruskan perjanjian Nafta dengan Mexico, tanpa Kanada. – Bernama, 6 September, 2018.
Komen