PAS, Umno cabar Halimey isytihar aset


SM Amin

Calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar dicabar untuk mengisytiharkan hartanya sebagai bukti beliau bersih daripada rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2018

PAS Selangor dan Umno negeri hari ini mencabar calon PKR bagi pilihan raya kecil DUN Seri Setia mengisytiharkan aset seperti yang akan dilakukan calon mereka, Dr Halimah Ali.

Pengarah pilihan raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata Halimey Abu Bakar perlu perlu mengisytihar aset untuk membuktikan calon parti kerajaan itu bersih daripada rasuah.

“Halimah akan mengumumkan hartanya dan kita harap calon Pakatan Harapan (PH) boleh lakukan perkara yang sama kecualilah harta dia terlalu banyak hingga (ambil) masa berminggu-minggu untuk isytihar,” katanya.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PAS Selangor serta Badan Perhubungan Umno Selangor hari ini, kata Roslan dalam sidang media di bilik operasi parti di Shah Alam di sini.

Dalam sidang media sama, calon PAS, Halimah berkata beliau tiada masalah untuk mengisytiharkan asetnya dan pernah berbuat demikian sewaktu menjadi exco Selangor sebelum ini.

“Saya mantan exco telah isytihar aset. Ada dalam laman web. Saya tidak pakai kerata Vellfire. Sekarang ini saya pakai kereta yang saya gunakan masa jadi exco dahulu. Kerajaan negeri lelong kereta itu, saya beli.

“Saya tidak ada isu untuk isytihar aset. Jika hendak dibanding dengan yang dahulu, aset saya mungkin sudah kurang sedikit sebab kereta sudah susut nilai,” katanya.

Pada 2009, Halimah ketika menjadi exco pendidikan mengisytihar pendapatan sebanyak RM17,722.08 serta tanggungan sebanyak RM7,238.50.

Turut hadir dalam mesyuarat hari ini adalah Pengerusi Umno Selangor Ismail Sabri, Timbalannya Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail.

Di pihak PAS Selangor, antara yang hadir adalah pesuruhjayanya Sallehen Mukhyi dan beberapa pemimpin tertinggi lain. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen