Lapangan Terbang Kansai dibuka semula esok


Ribuan penumpang terkandas apabila laluan masuk ke Lapangan Terbang Kansai terputus. – Gambar EPA, 6 September, 2018.

LAPANGAN Terbang Kansai di Jepun akan kembali beroperasi sebahagiannya pada Jumaat, kata kerajaan pada Khamis selepas taufan besar menenggelamkan lapangan terbang itu dan jambatan penghubung ke tanah besar.

Kejadian itu menyebabkan lapangan terbang yang dibina di atas pulau buatan manusia terputus hubungan dan ribuan penumpang dan kakitangan terkandas sehingga memaksa pihak berkuasa memindahkan mereka dengan bot dan bus.

“Penerbangan dalam negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai akan bersambung semula esok, dan penerbangan antarabangsa akan disambung semula sebaik sahaja semua kerja penyediaan siap,” kata jurucakap kerajaan Yoshihide Suga.

Lapangan itu yang terletak di daerah Osaka, Jepun dilanda Taufan Jebi, taufan terkuat melanda Jepun sejak 1998 sejak Selasa lalu.

Ombak besar disebabkan taufan itu juga menenggelamkan sebahagian lapangan terbang itu.

CEO Kansai Yoshiyuki Yamaya pada Khamis berkata semua yang terperangkap sudah berjaya diselamatkan dan kerja sedang dilakukan untuk menyambung semula operasi.

“Isu terbesar yang kita ada sekarang adalah memastikan laluan lancar ke pulau tersebut,” katanya menambah yang jambatan penghubung ke lapangan terbang itu rosak teruk.

Kansai adalah lapangan terbang utama untuk penumpang komersial dan kargo dan mengendalikan sekitar 400 penerbangan setiap hari.

Gangguan kepada operasi itu boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan dan perniagaan di daerah tersebut yang merupakan pusat industri utama Jepun.

Taufan Jebi menyebabkan kemusnahan teruk di seluruh Jepun dan membunuh 11 orang dan mencederakan berpuluh yang lain. ‘

Taufan itu adalah bencana alam terbaru yang melanda Jepun pada musim panas tahun ini, bermula dengan hujan lebat pada Julai yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh membunuh lebih 200 orang.

Awal Jumaat pula, gempa bumi kuat melanda daerah Hokkaido, membunuh sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan lebih 100 orang. – AFP, 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen