100 penumpang pesawat Emirates jatuh sakit, pesawat dikuarantin


Seramai lebih 100 orang daripada 521 penumpang Emirates menunjukkan simptom batuk, demam dan muntah yang menyebabkan kebimbangan berlakunya wabak penyakit. – Gambar EPA, 6 September, 2018.

SERAMAI 10 orang dalam penerbangan Emirates yang berlepas dari Dubai dibawa ke hospital di New York pada Rabu selepas pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) memeriksa penumpang yang sakit.

Ia susulan selepas lebih 100 orang daripada 521 penumpang menunjukkan simptom batuk, demam dan muntah.

Imej pesawat A380 dua dek yang terasing di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dipaparkan di media sosial, termasuk penyanyi rap Vanilla Ice yang juga berada dalam pesawat.

Ia menunjukkan ambulans berbaris di landasan bersebelahan kapal terbang A380, pesawat penumpang terbesar di dunia.

“Jadi, saya baru mendarat dari Dubai dan kini terdapat banyak ambulans dan bomba serta polis di seluruh tempat,” katanya.

Emirates mengesahkan tiga penumpang dan tujuh anak kapal dipindahkan ke hospital bagi “rawatan dan penilaian perubatan lanjut.”

“Semua penumpang disaring oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan sebelum turun,” katanya.

Sembilan penumpang menjalani pemeriksaan perubatan tambahan di situ sebelum dibebaskan, katanya.

Eric Phillips, jurucakap Datuk Bandar New York Bill de Blasio, berkata terdapat beberapa penumpang yang sakit dari Mekah, mengalami wabak selesema.

“Para pegawai kesihatan sedang menjalankan ujian pemprosesan untuk menentukan punca. Gejala masih menunjuk selesema,” katanya.

Oxiris Barbot, pemangku pesuruhjaya kesihatan berkata keputusan ujian dijangka pada waktu malam.

Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey mengatakan penerbangan Emirates 203 mendarat pada 9.12 pagi (1312 GMT) “dengan laporan beberapa penumpang yang sakit.”

“Pesawat itu dibawa ke lokasi yang jauh dari terminal supaya kakitangan perubatan dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS boleh menaiki pesawat untuk menilai keadaan dan memberi bantuan segera,” tambahnya.

Emirates mengumumkan penerbangan pulang ke Dubai, EK204, ditangguhkan sekitar tiga jam. – AFP, 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen