PARA eksekutif Facebook dan Twitter memaklumkam pembuat dasar pada Rabu bahawa mereka tidak mempunyai rancangan memasuki China, yang menyekat rangkaian sosial berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.
Ketua Pegawai Operasi Facebook Sheryl Sandberg menolak sebarang spekulasi yang ia sedang membuat sebarang perancangan untuk China walaupun terdapat beberapa lawatan berprofil tinggi ke sana oleh Ketua Eksekutif Mark Zuckerberg.
Sandberg berkata capaian terhadap populasi besar China semestinya sesuatu yang penting kepada misi Facebook untuk menghubungkan dunia tetapi menambah “untuk masuk ke China, kita perlu melakukannya sesuai dengan nilai kita, dan itu tidak mungkin berlaku sekarang.”
Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Jack Dorsey, yang hadir pada sesi pendengaran Jawatankuasa Perisikan Senat yang sama, turut berkata tidak mempunyai rancangan ke China.
“Apabila kami disekat, kami memutuskan ia bukan satu pertarungan bermakna sekarang, dan kami mempunyai keutamaan lain,” kata Dorsey.
Facebook dan Twitter adalah antara perkhidmatan web asing yang disekat oleh kerajaan Beijing pada 2009 sebagai sebahagian daripada tindakan ketat yang bertujuan membendung aliran maklumat daripada pembangkang. Perkhidmatan web berpusat di China sangat ditapis dan dipantau.
Laporan baru-baru ini mengatakan Google sedang mempertimbangkan untuk kembali ke China dengan enjin carian yang akan diterima oleh kerajaan Beijing, meningkatkan kebimbangan di kalangan pekerja Google dan aktivis hak asasi manusia.
Google belum mengulas secara terbuka tetapi beberapa laporan menggambarkan tindakan itu sebagai satu usaha. – AFP, 6 September, 2018.
Komen