GEMPA dengan kekuatan 6.6 magnitud melanda Hokkaido di utara Jepun awal Khamis, menyebabkan tanah runtuh, memusnahkan beberapa rumah, dan mengorbankan satu nyawa.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa yang melanda 62 kilometer (39 batu) tenggara ibu kota Sapporo.
Satu gempa susulan berukuran 5.3 berlaku dan diikuti gempa susulan lebih kecil sepanjang malam.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran mengenai sedikit perubahan paras laut di kawasan pesisir akibat gempa bumi.
Seorang lelaki berusia 82 tahun meninggal selepas terjatuh tangga di rumahnya semasa gempa, lapor media Jepun.
Sekurang-kurangnya empat kejadian tanah runtuh dilaporkan selepas gempa itu, kata jurucakap kerajaan Yoshihide Suga, sambil menambah enam buah rumah musnah.
“Kami menyeru penduduk di kawasan yang dilanda gegaran kuat mendengar maklumat di televisyen dan radio serta bertindak dengan membantu satu sama lain,” kata Suga pada sidang akhbar.
Rakaman TV sejurus selepas gempa itu menunjukkan orang ramai keluar dari rumah mereka pada awal pagi berikutan kejadian.
Hokkaido Electric berkata, 2.95 juta rumah mengalami gangguan bekalan kuasa selepas gempa itu.
“Kerajaan akan bekerjasama bagi pembangunan semula sambil memberi keutamaan menyelamatkan nyawa manusia,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe kepada pemberita.
Penduduk diberi amaran mengenai risiko gempa selanjutnya.
“Gempa besar sering berlaku, terutama dalam masa dua tiga hari,” kata Toshiyuki Matsumori, yang bertanggungjawab memantau gempa bumi dan tsunami di agensi meteorologi.
Beliau menambah risiko runtuhan rumah dan tanah runtuh meningkat di kawasan yang dilanda gempa: “Kami menggesa penduduk memberi perhatian penuh kepada aktiviti seismik dan hujan dan tidak pergi ke kawasan berbahaya.”
Jepun terletak di kawasan “lingkaran api” di Pasifik di mana banyak gempa bumi dan letusan gunung berapi direkodkan.
Pada Jun, gempa maut menggegarkan kawasan Osaka, mengorbankan lima nyawa dan mencederakan lebih 350 orang.
Pada 11 Mac 2011, gempa dengan kekuatan 9.0 yang melanda di bawah Lautan Pasifik, dan mengakibatkan tsunami yang menyebabkan kemusnahan besar serta mengorbankan ribuan nyawa.
Jepun masih dalam pemulihan akibat taufan terburuk yang membadainya dalam tempoh 25 tahun, berlaku di bahagian barat negara itu pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang maut dan kerosakan besar pada lapangan terbang utamanya. – AFP, 6 September, 2018.
Komen