Putrajaya kaji hadkan pegangan saham dalam syarikat media


Noor Azam Shairi

Umno memegang 49.77% saham dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad, syarikat yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo! – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

PUTRAJAYA mahu menyusun semula pemilikan media di Malaysia dengan mengehadkan tidak lebih 10% semua pegangan saham oleh parti politik dan entiti lain dalam syarikat media, termasuk yang dipegang oleh syarikat, pertubuhan dan individu, kata dua sumber.

Langkah itu antara cadangan reformasi ke arah media lebih bebas selepas kerajaan bertukar, sejak pilihan raya umum bersejarah 9 Mei lalu.

Seorang sumber yang maklum tentang kertas cadangan itu memberitahu ia hasrat yang disebut oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Sekatan pegangan saham itu dicadangkan oleh Dr Mahathir sendiri,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan dan enggan juga mengulas lanjut butiran cadangan tersebut.

Seorang sumber Pakatan Harapan (PH) pula mengesahkan cadangan sama pernah dibincangkan dalam beberapa mesyuarat parti.

“Saya tidak pasti apakah cadangan itu sudah ada pada kerajaan,” kata sumber kedua, yang tahu mengenai perbincangan dalaman PH tetapi tiada mandat menghebahkannya.

Dalam manifesto pilihan raya umum 9 Mei lalu, PH berjanji menyemak semua undang-undang dan peraturan berkaitan media demi menjamin kebebasannya untuk menjadi mekanisme semak dan imbang.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata pihaknya sedang membincangkan mekanisme untuk mengawal pemilikan politik dalam syarikat media.

“Kerajaan akan memutuskannya selepas saya bentangkan cadangan mengenainya kepada Kabinet,” kata beliau dalam wawancara dengan stesen radio BFM pada Selasa.

Menurut Gobind, isu pemilikan dalam media perlu diselesaikan sebagai suatu keputusan dasar kerajaan yang tidak akan lagi membenarkan penguasaan politik dalam mana-mana agensi media.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata isu pemilikan dalam media perlu diselesaikan sebagai suatu keputusan dasar kerajaan agar tidak membenarkan penguasaan politik dalam mana-mana agensi media. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

“Untuk melakukan itu, saya fikir kita perlu gubal undang-undang dan menghapuskan pengaruh itu. Itu yang sedang saya fikirkan,” katanya.

Pensyarah media V Gayathry bagaimanapun berpendapat membebaskan media daripada kawalan parti politik bukanlah sesuatu yang mudah, walaupun ia sesuatu yang perlu dilakukan.

“Pelaksanaannya jauh lebih kompleks daripada hanya menetapkan suatu had (pemilikan saham),” kata pensyarah di University of Nottingham Malaysia itu.

“Di Malaysia, media dimiliki secara langsung oleh parti politik. Parti politik dan dana kerajaan melabur dalam media.”

Umno memegang 49.77% saham dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad, syarikat yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo!, sementara syarikat Nilam Setar (M) Sdn Bhd kepunyaan Syed Mokhtar Al-Bukhari jadi pemegang saham terbesar kedua dengan 14.76%.

Umno juga mempunyai 19.05% saham dalam Media Prima Berhad, konglomerat media terbesar di Malaysia, yang dipegang melalui Gabungan Kesturi Sdn Bhd dan Altima Inc.

MCA pula menguasai The Star dan Nanyang Siang Pau, dua akhbar paling laris masing-masing dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, melalui anak syarikatnya Huaren Holdings.

Saham Kumpulan Star Media Berhad, yang 43.03% dimiliki oleh MCA, juga dipegang oleh syarikat milik kerajaan secara terkumpul sebanyak 32.57% melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Raya Berhad dan Lembaga Tabung Haji.

Untuk cadangan Putrajaya itu berjaya, semua ahli politik dan proksi mereka mesti juga mendedahkan hubungan serta kepentingan dalam syarikat media, dan bukan hanya parti politik saja, tambah Gayathry.

Beliau yang juga pernah mengetuai badan media bebas, Perikatan Media Asia Tenggara (Seapa) dan Pusat Kewartawan Bebas (CIJ), turut membangkitkan beberapa persoalan mengenai cadangan mengehadkan pegangan saham 10% itu.

“Adakah (sekatan pemilikan saham 10%) hanya ke atas syarikat yang disenarai awam atau (termasuk) semua syarikat persendirian?”

“Adakah hanya untuk syarikat berita atau mana-mana syarikat media?” tanyanya, merujuk pada syarikat media yang menggabungkan berita, hiburan, pengiklanan, pemasaran dan sebagainya.

“Kita juga mesti hentikan lantikan politik dalam lembaga pengarah syarikat media, selain menghentikan pilih kasih secara politik dari segi iklan, liputan, akses kepada dana serta akses kepada maklumat,” kata Gayathry.

Umno mempunyai 19.05% saham dalam Media Prima Berhad, konglomerat media terbesar di Malaysia, yang dipegang melalui Gabungan Kesturi Sdn Bhd dan Altima Inc. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

Selain itu, beberapa peraturan mengenai pemilikan syarikat perlu dikemas kini antaranya Akta Syarikat, Akta Suruhanjaya Sekuriti, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Persaingan, yang semuanya perlu dikemas kini, tambah beliau.

“Daripada mengehadkan (pegangan saham), mesti ada peraturan jelas menyekat monopoli, dan media yang dikawal kerajaan,” katanya.

“Sebagai permulaan, keluarkan RTM (Radio Televisyen Malaysia) daripada kawalan kerajaan dan mansuhkan undang-undang seperti Akta Percetakan dan Penerbitan supaya tiada sekatan untuk sesiapa yang mahu jadi penerbit,” jelasnya.

PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 turut berjanji meningkatkan kebebasan dan profesionalisme agensi media kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama.

Selain itu, PH mahu menubuhkan sebuah Majlis Media yang diberi mandat menyelaras garis panduan etika pemberitaan serta bertindak sebagai badan yang menangani aduan orang ramai tentang media. Majlis itu dicadangkan dianggotai oleh pengamal media sendiri. – 6 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen