4 terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di Kabul 


Mayat mangsa dikeluarkan dari tempat kejadian untuk dibawa ke hospital.– Gambar EPA, 5 September, 2018

PENGEBOM bunuh diri bertindak meletupkan dirinya di sebuah kelab sukan di Kabul pada Rabu, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan mencederakan 18 yang lain, kata pihak berkuasa dalam serangan terbaharu di ibu negara Afghanistan. 

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu setakat ini, yang mana menurut jurucakap menteri dalam negeri Najib Danish, kejadian itu berlaku di kawasan kejiranan Syiah. 

Jurucakap polis Kabul Hashamt Stanikzai mengesahkan letupan itu dan berkata mereka yang cedera telah dikeluarkan daripada kelab berkenaan. 

“Berdasarkan maklumat awal, letupan itu berpunca daripada pengebom bunuh diri,” kata Stanikzai.

Pengguna media sosial yang menyaksikan serangan itu berkata pengebom berkenaan bertindak membunuh pengawal kelab berkenaan sebelum meletupkan diri di dalamnya. 

Penyerang “meletupkan diri di kawasan yang ramai atlet berkumpul. Ramai yang mati dan cedera,” kata Mohammad Hanif dalam postingnya di Facebook. – AFP, 5 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen