Maaf Maszlee, kata mesti dikota


Jahabar Sadiq

Pelantikan Maszlee Malik sebagai pengerusi UIAM dan pada masa sama menjawat jawatan menteri adalah legasi Barisan Nasional, dan ia tak diperlukan dalam Malaysia Baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2018.

118 hari sudah berlalu di bawah Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik pula selamat jadi menteri pendidikan untuk 110 hari.

Dan baru sehari beliau memegang jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Namun hal ini tak begitu disenangi ramai penyokong PH begitu juga warga awam dan barisan pembangkang. Ada yang kata secara tradisi, sebagai menteri pendidikan dia layak jadi presiden UIAM seperti pendahulunya Anwar Ibrahim dan Najib Razak yang turut pernah menduduki takhta itu ketika jadi menteri.

Memang benar, namun itu gaya pentadbiran Barisan Nasional ketika mereka jadi kerajaan, tapi kini tidak lagi. PH yang meneraju pentadbiran, dan PH telah berjanji tidak mahu ada pimpinan mempunyai tugas bertindan dengan lantikan yang banyak.

Cuba lihat calon sebelum ini dari PH bagi jawatan menteri pendidikan. Namanya Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang menjawat jawatan perdana menteri telah diingatkan untuk tidak memegang jawatan lain dalam Kabinet.

Beliau kemudian sanggup berundur, sekali gus menamakan Maszlee bagi jawatan itu. Ini isyarat bahawa beliau yakin dengan orang yang baru sahaja menyertai Bersatu dan pertama kali memenangi kerusi pada kali pertama beliau bertanding.

Tampak begitu banyak yang diharapkan daripada Maszlee. Dan yang paling penting, tugasnya sebagai menteri pendidikan.

Beliau berjanji macam-macam ketika diwawancara New Straits Times pada 7 Jun lalu. Katanya, “Ini era baru. Saya akan pastikan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan salah guna universiti-universiti bagi kepentingan politik… Termasuklah saya.

“Kami tidak akan kawal dan menetapkan universiti mahu pun memaksa mereka (untuk lakukan sesuatu). Kami betul-betul mahukan universiti-universiti itu menikmati autonomi sekali gus memperkuat kebebasan akademik di wilayah mereka,” katanya.

Tidak ada orang yang mengatakan bahawa beliau akan kawal UIAM sebagai presiden namun apa alasan untuk meletakkan beliau di jawatan itu? Tidak adakah orang lain yang mampu melakukan kerja ini? Bagaimana pula universiti lain? Adakah universiti lain ini kurang nilainya pada hemat menteri pendidikan?

Menteri-menteri seperti Maszlee mesti ingat siapa yang memberi mandat kepada mereka. Pemberinya rakyat, yang mahu kerajaan ini menjulang Malaysia ke arah lebih bagus bukannya merosakkan kepercayaan dan duit mereka.

Sebagai menteri, beliau mendepani cabaran besar bukan sekadar menukar warna kasut atau beg anak-anak sekolah rendah. Perhatiannya diperlukan untuk memastikan Malaysia mempunyai guru-guru hebat dan sistem pendidikan masa depan.

Dr Mahathir berkata beliau mahukan sekolah wawasan di mana anak-anak semua bangsa dari pelbagai aliran boleh belajar dan bermain bersama bagi sebuah perpaduan. Namun ada beberapa perkara yang beliau tidak boleh biarkan pada tangan enakmen dan undang-undang.

Wawasan itu memerlukan semua lapisan untuk bekerja bersama. Ia memerlukan seorang menteri pendidikan yang fokus dengan tugas yang dipikulnya. Bukan menteri yang punya banyak topi dan memikul macam-macam jawatan kerja di atas meja.

Maszlee, cubalah jadi Dr Mahathir versi 2018. Tumpu pada kerja yang sedia ada di tangan anda. – 5 September, 2018.

* Jahabar Sadiq pengasas The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen